KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mengecualikan cukai ke atas pendapatan yang diterima dari luar negara kepada pembayar cukai pemastautin, termasuk syarikat perkongsian liabiliti terhad dan individu mulai 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2026.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), bagi kategori pembayar cukai individu, kerajaan memberikan pengecualian kepada semua individu kecuali yang menjalankan perniagaan perkongsian di Malaysia, yang mana akan tertakluk kepada cukai bagi Pendapatan Sumber Asing (FSI) yang diterima.
Manakala, bagi kategori bukan pemastautin (individu, syarikat, dan lain) masih kekal layak dikecualikan cukai pendapatan.
“Pada masa yang sama, sukacita dimaklumkan bahawa FSI yang diterima dalam tahun taksiran 2022 adalah dikecualikan daripada pengiraan cukai bagi tujuan Cukai Makmur,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MOF berkata, kerajaan juga telah mencadangkan kadar duti setem ke atas nota kontrak bagi dagangan saham stok tersenarai di Bursa Malaysia dikaji semula supaya ia dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.50 bagi setiap RM1,000 dan kenaan had duti setem RM200 bagi setiap nota kontrak berkaitan dimansuhkan.
Katanya, mengambil kira pandangan dan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk industri pasaran saham bagi memastikan pasaran saham di Bursa Malaysia terus kekal rancak dan dinamik, kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan inisiatif berkenaan dengan mengenakan kadar duti setem 0.15 peratus ke atas nota kontrak bagi dagangan saham stok dan amaun maksimum duti setem yang dikenakan bagi setiap nota kontrak itu adalah dihadkan sehingga RM1,000.
Tambahnya, amaun duti setem yang melebihi RM1,000 akan diremitkan dan peremitan itu adalah terpakai kepada semua nota kontrak bagi tempoh mulai 1 Januari 2022 hingga 31Disember 2026 bagi dagangan saham stok yang disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia yang diluluskan di bawah subseksyen 8(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Kerajaan akan sentiasa memastikan layanan cukai kepada pembayar cukai adalah berdasarkan prinsip adil dan saksama selain kekal komited terhadap pematuhan amalan terbaik percukaian di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette