Home Politik Kerajaan UMNO tak abai golongan miskin bandar

Kerajaan UMNO tak abai golongan miskin bandar

Bendahari UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid berucap pada majlis penyampaian lebih 300 Sijil Takaful Hong Leong di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, hari ini.
PETALING JAYA – UMNO Kelana Jaya tidak menolak untuk memperkenalkan Tabung Amanah Lestari dengan pemberian perlindungan takaful dan khairat kematian kepada semua penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) yang layak dan berpendapatan rendah tidak lama lagi.
Bendaharinya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid berkata, buat permulaan, pihaknya dengan kerjasama Hong Leong memperkenalkan manfaat itu kepada PPR Lembah Subang 1 bagi memastikan kebajikan mereka yang memerlukan terbela.
“Kita sasarkan hampir semua penduduk PPR Lembah Subang untuk melanggan skim takaful Hong Leong dengan pelbagai manfaat, sehingga kini RM3,000 khairat kematian, RM20,000 jika kemalangan dan cacat kekal dan sebagainya.
“Kita tahu mereka kebanyakannya di bawah B40 atau berpendapatan rendah, iaitu orang miskin, miskin bandar mendapat inisiatif ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menyampaikan Sijil Takaful Khairat Kematian Hong Leong kepada penduduk PPR Lembah Subang 1, di sini, hari ini.
Bendahari UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Mohd Syukri Abdul Majid bergambar bersama penerima-penerima Sijil Takaful Hong Leong di PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya, hari ini.
Beliau berkata, selama ini banyak manfaat diberikan kepada penduduk luar bandar dan kini kerajaan mula memberi perhatian kepada penduduk di bandar yang tertekan akibat kos sara hidup tinggi.
“Kerajaan tak abaikan bahkan pelbagai manfaat telah mula diberikan dan syarikat-syarikat korporat seperti Hong Leong mereka ada dana-dana CSR untuk disalurkan kepada rakyat,” katanya.
Katanya, UMNO Kelana Jaya mahu inisiatif ini dijadikan sebagai program Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memberi manfaat kepada PPR seluruh negara.
“Mungkin ada cadangan daripada pihak kita dan Hong Leong di mana pasukan mereka akan bertemu dengan Tan Sri Noh Omar untuk dicadangkan supaya program ini jadi program kementerian di mana boleh dibawa program ini dalam PPR di seluruh Malaysia.
“Kalau perkara ini boleh berjalan bukan sahaja RM3,000 atau RM20,000 boleh diberikan bahkan pelbagai manfaat lagi boleh diberikan kepada orang-orang miskin di bandar mahupun di luar bandar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.