Home Seni Hidup Kucing mangsa banjir fobia tengok air

Kucing mangsa banjir fobia tengok air

Gambar yang tular di laman sosial memaparkan kucing peliharaan Kamarulzaman menyelamatkan diri daripada banjir dengan berpaut pada rod langsir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini.

HULU LANGAT – “Kucing semua okay cuma sekarang selalu termenung, fobia dengan air.”

Itu kata Kamarulzaman Mohd Ibrahim, 55, yang juga merupakan antara mangsa yang terkesan akibat banjir yang berlaku di daerah itu hari ini.

Beliau yang menetap di Taman Sri Nanding berkata, keenam-enam kucingnya itu terpaksa berpaut semalaman pada batang rod langsir selepas hampir separuh kediamannya ditenggelami air baru-baru ini.

“Air sudah hampir paras dada (jadi) saya tawakal sahaja dan minta kepada Allah supaya selamatkan ‘anak-anak’ (kucing) di dalam rumah. Kesemuanya selamatkan diri dengan berpaut pada rod langsir,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mangsa banjir, Kamarulzaman Mohd Ibrahim menerima sumbangan makanan kucing dari wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Petronas Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 DISEMBER 2021.

Ujar Kamarulzaman, video memaparkan kucing-kucingnya menyelamatkan diri dengan berpaut pada rod langsir turut menjadi tular di laman sosial baru-baru ini selepas ia dikongsi oleh anak perempuannya.

Terdahulu, Kamarulzaman merupakan antara individu yang hadir ke sebuah stesen minyak di sini bagi mendapatkan makanan kucing secara percuma menerusi program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Persatuan Veterinar Haiwan Kecil Malaysia (MSAVA) serta Kelab Kucing Malaysia.

Sementara itu, Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan Bahagian Regulatori Veterinar JPV Putrajaya, Dr. Marzuna Md Yunus berkata, JPV sentiasa menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu haiwan-haiwan yang terkesan akibat banjir.

Dr. Marzuna. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 DISEMBER 2021.

“Hari ini kita agih bantuan di kawasan Sri Nanding iaitu inisiatif sama yang dijalankan di Taman Sri Muda baru-baru ini.

“Kita bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya Kelab Kucing Malaysia dan menerima bantuan daripada syarikat makananan kucing seperti Hill’s, Britt dan Country Value serta sumbangan dari individu,” ujarnya.

Jelas Marzuna, ketika misi bantuan kecemasan di Taman Sri Muda tempoh hari, inisiatif berkenaan berjaya memberi manfaat kepada lebih puluhan pemilik haiwan termasuk 20 pusat perlindungan.

Katanya lagi, inisiatif itu juga akan diperluaskan ke negeri-negeri di Pantai Timur bagi menyalurkan bantuan makanan kucing dan anjing kepada mereka yang terjejas.

Manakala Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid menyifatkan, banjir yang melanda kebanyakan kawasan di negeri Selangor kali ini merupakan bencana terburuk yang pernah melanda negara.

Khalid Rashid. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 DISEMBER 2021.

Justeru, katanya, pelbagai pihak mula berganding bahu dan mengambil langkah proaktif bagi membantu haiwan-haiwan yang terkesan akibat banjir terutamanya dari segi bantuan makanan melalui projek We Love, We Care.

“Kita sudah mula sejak hari kedua banjir berlaku dengan menghantar bantuan ke pusat perlindungan haiwan.

“Sebab itu kalau kita ada memelihara haiwan terutamanya dalam musim tengkujuh, hendaklah kita sentiasa waspada dengan cuaca semasa. Kalau kucing terlalu banyak kena pastikan kita berada di rumah supaya keselamatan haiwan itu lebih terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette