KUALA LUMPUR – Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini.
Dalam perutusannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden itu menekankan bahawa negaranya bersama dengan Malaysia dan rakyatnya pada waktu yang mencabar ini.
“Ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada mangsa. Saya mendoakan agar roh mereka tenang, keluarga yang kehilangan diberikan kesabaran dan ketabahan, kesembuhan segera buat yang cedera, dan keselamatan untuk semua mangsa yang dipindahkan.
“Saya juga ingin menekankan bahawa Mesir bersama dengan rakyat Malaysia pada masa yang mendukacitakan ini, dan yakin anda akan mengatasi keadaan selepas bencana alam ini dan memulihkan segera kestabilan di kawasan yang dilanda banjir,” katanya.
Perutusan itu disediakan kepada Bernama oleh Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Hujan lebat di Malaysia mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini, dengan lima lagi masih dilaporkan hilang.
Angka kematian adalah yang tertinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia.- BERNAMA