Home Utama Bibi Ramjani catat sejarah wanita pertama terajui Kafa

Bibi Ramjani catat sejarah wanita pertama terajui Kafa

Pengurus Desa Murni Batek, Bibi Ramjani Ilias Khan mencipta sejarah di Kelantan apabila seorang wanita dipilih untuk menerajui persatuan bola sepak negeri.

KOTA BHARU – Sejarah tercipta di Kelantan pada hari ini apabila seorang wanita dipilih untuk menerajui persatuan bola sepak negeri.

Pengurus Desa Murni Batek, Bibi Ramjani Ilias Khan membuat kejutan apabila menewaskan bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Muhammad Nasir untuk berada di kerusi nombor satu persatuan tersebut bagi penggal 2017-2021.

Usahawan wanita berusia 46 tahun itu mendapat 32 undi manakala Muhammad Nasir menerima 16 undi selepas undian pusingan kedua diadakan.

Undian kali kedua diadakan selepas Bibi Ramjani gagal mendapat undi dua per tiga pada pusingan pertama.

Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, Datuk Seri Afandi Hamzah berjaya mengekalkan jawatannya selepas menewaskan seorang lagi bekas Naib Presiden, Datuk Rosmadi Ismail dengan majoriti tujuh undi.

Paling menarik bagi pertandingan untuk merebut tiga kerusi naib presiden apabila dua calon mengumumkan untuk menarik diri biarpun telah memenangi kerusi tersebut.

Calon tersebut ialah bekas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang mendapat undi kedua tertinggi iaitu 35 undi dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz yang menerima 27 undi.

Tiga calon yang diumumkan memenangi kerusi tersebut secara automatik ialah Datuk Aizuddin Mohd. Ghazali (39); Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21).

Bagi jawatan Ahli Eksekutif pula dimemangi oleh :

  1. Datuk Mohd. Rowi Dollah (51 undi)
  2. Wan Rakemi Wan Zahari (42 undi)
  3. Nubli Ab. Latiff (40 undi)
  4. Datuk Shaari Mat Husin (37 undi )
  5. Zulkifli Omar (37 undi)
  6. Akmal Ahmad Tabarani (33 undi)
  7. Mohamad Ausri Husin (29 undi)
  8. Azrul Mohd. Zawawi (28 undi)
  9. Mohamed Fareez Nor Amran (26 undi)
  10. Datuk Azman Ismail (24).

Keputusan ini juga menunjukkan hampir kesemua penyokong bekas Presiden, Tan Sri Annuar Musa tewas. – MalaysiaGazette