KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) menyelaras urusan membawa pulang pelajarnya yang terlibat dengan kemalangan bersama Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela.
Nur Nabilah Mohd Azahar, 25, terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacoa, Carribean, baru-baru ini.
Dia adalah pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan yang mengalami kemalangan yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong dan pembedahan kecemasan dibuat bagi menyelamatkan nyawanya.
Beberapa pembedahan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat ini.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam kenyataan berkata, KPT dan UUM akan memudahcara segala urusan berkaitan membawa pulang pelajar dan tuntutan insurans.
Namun begitu, sebagai langkah segera, UUM akan membiayai pembayaran awal kos rawatan hospital Nur Nabilah sebelum tuntutan insurans perlindungan penuh dibuat.
Nur Nabilah sedang menjalani latihan industri selama empat bulan bermula 13 Sept 2021 hingga 13 Januari 2022. – MalaysiaGazette