Home Nasional Bersihkan segera longgokan sampah depan rumah mangsa banjir – Ahmad

Bersihkan segera longgokan sampah depan rumah mangsa banjir – Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat dan negeri wajar memberi keutamaan untuk membersihkan segera longgokan sampah akibat banjir di hadapan rumah dan di tepi jalan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia perlu bagi memastikan suasana kembali pulih dan menjaga aspek keselamatan.

“Setelah 15 hari berlaku banjir, banyak kawasan masih ada longgokan sampah di hadapan rumah dan di kiri kanan jalan.

“Bayangkan jika berlaku gelombang kedua, sampah akan masuki kawasan rumah dan menyumbat perparitan. Saya kira ini perkara utama yang kerajaan Pusat dan kerajaan negeri wajar beri keutamaan selain membantu mangsa banjir secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliua juga memuatnaik video keadaan sampah berlonggok di sekitar Puchong hari ini.

Sebelum itu, Ahmad turun padang melihat kesan banjir di Petaling Jaya dan Puchong.

“Pelbagai bantuan kerajaan yang diberi perlu diurusetiakan oleh pimpinan kampung dan kawasan.

“Inisiatif yang baik oleh UMNO Bahagian Puchong adakan bilik gerakan banjir sendiri untuk bantu rakyat, isi borang-borang yang berkaitan secara online dan secara fizikal,” katanya.- MalaysiaGazette