Home Ekonomi MEDAC, agensi tawar moratorium kepada usahawan terjejas banjir

MEDAC, agensi tawar moratorium kepada usahawan terjejas banjir

Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi berkaitan menawarkan moratorium kepada usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang mendapat pembiayaannya.

Tawaran itu diberikan susulan bencana banjir melanda negara yang mengakibatkan banyak perniagaan usahawan terkesan dan memerlukan tempoh masa tertentu untuk kembali beroperasi seperti biasa.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, Bank Rakyat memberi penangguhan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan.

Penangguhan ini melibatkan mereka yang meminjam dengan Bank Rakyat melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga memberi moratorium kepada usahawan yang terkesan dengan banjir selama enam bulan bergantung kepada sejauh mana kesan banjir dihadapi oleh usahawan.

SME Bank memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada mana-mana penyewa di kompleks perniagaan usahawan miliknya yang terjejas akibat banjir.

Menurut beliau, SME Bank juga menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan enam bulan moratorium.

SME Corp menawarkan 3 pakej pembiayaan iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS terjejas banjir dalam semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan.

Pakej-pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan.

Untuk peserta tiga program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium sehingga 6 bulan sehingga Jun 2022. – MalaysiaGazette