MALAYSIA sebuah negara yang aman daripada malapetaka semulajadi seperti gempa bumi, taufan, kemarau panjang mahupun ancaman gunung berapi. Pun begitu, negara ini tidak kebal bencana lain termasuk banjir, cuaca kering atau pun tanah runtuh.
Penghujung tahun lalu negara diuji dengan banjir besar yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain ketika ia masih lagi menderita ancaman virus Covid-19.
Selepas hampir dua minggu berlalu, masih ramai yang terkesan dan menyambut kedatangan Tahun Baharu 2022 dengan suram dan linangan air mata. Barang yang dibeli dan dikumpul sedikit demi sedikit, ada yang masih belum habis dibayar musnah sekelip mata.
Air mata mereka yang kehilangan orang tersayang juga belum lagi kering. Banjir besar itu mengorbankan lebih 40 nyawa yang antaranya ditemukan maut di dalam rumah sendiri.
Memasuki tahun baharu ini apa yang kita belajar dengan bencana itu? Mengapakah banjir yang anggap fenomena biasa menjadi bencana yang amat mengancam nyawa? Adakah ini hanya permulaan?
Fenomena hujan ekstrem semakin meningkat
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, banyat tempat di dunia mengalami fenomena hujan ekstrem yang semakin kerap dengan jumlah taburan hujan yang meningkat.
Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, trend itu dinyatakan dalam Laporan Penilaian Perubahan Iklim Ke-6 dikeluarkan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 9 Ogos lalu.
“Situasi yang kita alami adalah konsisten dengan trend peningkatan peristiwa cuaca ekstrem.
“Di Malaysia dan negara Asia Tenggara yang lain, bencana iklim terutama banjir meningkat sejak dua dekad yang lalu,” katanya yang mengulas mengenai kejadian banjir luar biasa yang melanda Lembah Kelang dua minggu lalu.
Beliau menambah, dua faktor menyebabkan banjir yang begitu teruk iaitu curahan hujan yang lebat dan berterusan sehingga melebihi 36 jam.
Faktor kedua berkaitan keadaan di bawah tanah yang memungkinkan banjir terjadi.
“Ini termasuk sistem tambatan banjir yang tidak dapat menampung curahan hujan yang tinggi atau sistem tambatan banjir yang tidak berfungsi dengan baik atau belum diwujudkan, longkang dan parit yang tidak diselenggara dengan baik.
“Pembangunan yang tidak teratur, aktiviti pembangunan dan penebangan hutan di bahagian hulu dan sebagainya, semua boleh menyumbang kepada menjadikan banjir yang teruk,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazzate.
Selain dari itu, keadaan air laut pasang besar turut menyumbang berlakunya banjir dengan melambatkan aliran air ke laut. Kesan banjir diburukkan lagi di atas faktor Lembah Klang adalah kawasan perbandaran yang padat penduduk.
Ancaman cuaca yang diambil mudah
Menurut sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Klima Action Malaysia, kebimbangan mengenai bencana alam akibat perubahan cuaca sentiasa ditimbulkan dalam setiap pertemuan dengan pihak berkuasa tempatan dan negari.
Presidennya, Ili Nadiah Dzulfakar berkata, bagaimanapun masalahnya, isu alam sekitar dan krisis cuaca bukanlah topik popular dalam kalangan rakyat mahupun pemimpin.
“Kita memang sudah tahu benda ini akan berlaku dan akan berulang. Kami sudah menghadiri banyak sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan. Dengan kerajaan negeri, dengan kementerian.
“Kita sudah sampaikan bahawa banjir ekstrem akan berlaku. Kita tahu ianya telah berlaku di negara lain dan Malaysia tidak akan terkecuali. Kita sudah nampak dalam beberapa minggu ini apa yang kita ramalkan sudah pun terjadi,” katanya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) itu, cadangan yang dilontarkan oleh NGO dalam perbincangan-perbincangan awam hanya dipandang mudah oleh berkenaan.
“Bencana ini bukan hanya disebabkan oleh hujan turun sangat lebat atau perubahan cuaca tetapi juga kerana pelan pembangunan bandar yang teruk di kawasan Selangor dan Pahang. Hutan ditebang, kita hilang kawasan tadahan hujan, longkang tersumbat.
“Kita perlukan satu suruhanjaya untuk menyiasat apakah sumber-sumber kepada bencana ini daripada sudut sains, perubahan iklim, town planning. Kita perlulah pakar-pakar ini untuk membuat siasatan,” tegas beliau.
Laksana segera Pelan Adaptasi Perubahan IklimĀ
Pada waktu ini, prospek pengekangan peningkatan suhu di bawah 1.5 dan 2.0 celcius berbanding suhu pra-perindustrian Eropah tidak begitu baik.
Dr. Fredolin berkata, kajian menunjukkan kebarangkalian dunia dapat mengekang peningkatan suhu di bawah 1.5 celcius hanyalah 1% dan di bawah 2.0 celcius hanyalah 5%.
Tambah beliau, komitmen di bawah Perjanjian Paris tidak akan mengekang suhu pada 1.5 atau 2.5 celcius tetapi membawa kepada peningkatan suhu melebih 2.7 celcius yang akan menjadikan cuaca ekstrem meningkat secara drastik.
Serentak itu, Malaysia perlu memberi perhatian dan melaksanakan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu secara serius walaupun negara secara keseluruhan hanya menyumbang kurang 1% jumlah pembebasan gas rumah hijau.
“Malaysia perlu meneliti sektor dan kawasan yang berisiko tinggi mengalami bencana iklim di masa akan datang dan langkah-langkah adaptasi perlu dilakukan.
“Pihak berwajib perlu memberi perhatian kepada kajian-kajian yang dilakukan di institusi-institusi penyeldikan terutama universiti dan menggunakan dapatan-dapatan daripada kajian-kajian tersebut untuk membantu mengenalpasti langkah-langkah yang diperlukan untuk beradaptasi,” kata Dr. Fredolin.
Saranan itu turut dipersetujui Ili Nadiah yang menambah Malaysia masih dalam pembentukan Pelan Adaptasi Perubahan Iklim.
Lambat dan gagal melaksanakan pelan itu bermakna negara terutama rakyat akan terus terdedah dengan ancaman bahaya bencana cuaca ekstrem akibat perubahan iklim.- MalaysiaGazette