Home Utama ‘Saya tidak tahu BNM terlibat dalam urus niaga forex’ – Tun Daim

‘Saya tidak tahu BNM terlibat dalam urus niaga forex’ – Tun Daim

Daim Zainuddin
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menjelaskan kepada panel lima ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa beliau tidak mengetahui aktiviti bank pusat itu dalam urus niaga mata wang asing (forex).

Beliau yang merupakan saksi ke 23 prosiding RCI berkata, tiada pihak daripada bank pusat itu memberikan apa-apa maklumat terhadap urus niaga tersebut.

“Sewaktu saya bertugas sebagai Menteri Kewangan dari tempoh Julai 1984 sehingga Mac 1991, saya tidak tahu Bank Negara Malaysia terlibat dalam urus niaga mata wang asing pada ketika itu.

“Saya tidak mengetahui atau diberitahu mengenai bentuk urus niaga mata wang asing yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 hingga 1990,” katanya.

Malah katanya, tiada sebarang taklimat diberikan kepadanya oleh BNM mengenai aktiviti itu.

Tambah Daim, beliau tidak mendapat maklumat mengenai segala kerugian yang ditanggung BNM semasa urus niaga tersebut dilakukan.

“Saya tidak mengetahui tentang kerugian berjumlah RM772.3 juta pada tahun 1988 dan RM 2.259 billion pada tahun 1989 yang dihadapi oleh Bank Negara Malaysia akibat urusniaga hadapan seperti yang dinyatakan,” katanya.

Jelas Daim lagi, kali pertama beliau mengetahui mengenai kerugian BNM adalah menerusi maklumat yang dinyatakan dalam halaman 12 (Jadual 6 Ringkasan Kerugian Keuntungan Pertukaran Asing) Rawatan Perakaunan Kerugian yang timbul daripada Pengurusan Rizab Aktif 1988-1994 bertarikh 18 April 2007.

Daim juga gagal memberitahu RCI siapa yang bertanggungjawab melaksanakan forex transaksi di Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 hingga 1991.

Prosiding berehat seketika dan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette