Home Utama Pasukan khas siasat maklumat bocor kes tahfiz ditubuhkan

Pasukan khas siasat maklumat bocor kes tahfiz ditubuhkan

KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kebocoran maklumat dan perincian penyiasatan kes kebakaran pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat pada Khamis lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana perkara seumpama itu sudah banyak kali berlaku.

Menurutnya, Ketua Polis Kuala Lumpur telah diarahkan untuk menubuhkan pasukan khas itu dengan segera.

“Pasukan khas tersebut akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati bersalah, kita bukan sahaja akan ambil tindakan di peringkat jabatan, malah turut diambil tindakan mengikut undang-undang,” kata Mohamad Fuzi pada sidang media selepas meraikan atlet Polis Diraja Malaysia yang menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Bukit Aman.

Sehingga semalam, seramai 13 individu yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis dirakamkan keterangan mereka bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette