Home Nasional Dua ban pecah di Kuala Langat dalam proses pembaikan – JPS

Dua ban pecah di Kuala Langat dalam proses pembaikan – JPS

Hakisan ban pecah selebar antara tiga hingga empat meter di Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Hujan berterusan sejak semalam telah mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Langat seterusnya menyebabkan hakisan ban selebar antara tiga hingga empat meter  pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memaklumkan, pihaknya telah melakukan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan dua ban Sungai Langat melibatkan Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Labohan Dagang.

“Sehubungan itu, JPS telah menggerakkan sebanyak empat jentera di setiap lokasi bagi kerja-kerja pembaikan dan pembaikan ban telah siap dibaiki sepenuhnya di Kampung Labohan Dagang.

“Manakala di RTB Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini. Setakat ini, limpahan air Sungai Langat di kawasan jajaran Sungai Langat adalah terkawal,” katanya.

Kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan dua ban Sungai Langat sedang dilakukan.

Sebelum ini, JPS memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari sehingga esok melibatkan empat negeri termasuk Selangor meliputi daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

Justeru, penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan twitter @DID_Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan kejadian ban pecah berdekatan rumah pam Kampung RTB Bukit Changgang pada pukul 10.11 pagi tadi.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting serta KLIA masih berada di lokasi kejadian ketika ini.

“Air yang melepasi benteng sungai juga sudah menyusut dan berkurangan setakat ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette