Home Sukan Bekas penjaga gol negara meninggal dunia

Bekas penjaga gol negara meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gawang skuad kebangsaan dan Kelantan era 70 dan 80-an, Abd Hamid Ramli telah meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsikan anak lelakinya, Mohd Zaki Mjkey menerusi laman Facebook miliknya.

“Dukacita dimaklumkan,Ayahnda saya, Abd Hamid bin Ramli telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.00 pagi 5 Januari 2022.

“Semoga roh ayahnda dicucuri rahmat. Al-Fatihah…”, tulisnya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada usia 68 tahun.

FAM turut merakamkan takzih kepada waris dan keluarga arwah.

Abdul Hamid yang dilahirkan pada 9 April 1953, adalah bekas penjaga gol skuad negara yang beraksi di Piala Asia AFC di Tabriz, Iran pada 1976 dan Piala Asia AFC di Kuwait pada 1980.
Selain menjuarai Pestabola Merdeka 1976 dan 1979, Hamid menganggotai skuad negara yang mengutip pingat emas di Sukan SEA Jakarta pada 1979.
Seangkatan dengan mendiang Datuk R. Arumugam, mendiang Ong Yu Tiang dan mendiang Peter Rajah, Abdul Hamid bersaing hebat untuk mengawal gawang negara.
Asalnya dipanggil menyertai skuad kebangsaan oleh Allahyarham Jalil Che Din pada 1975, Abdul Hamid menembusi pintu skuad utama apabila dipilih menjadi penjaga gol kedua kepada Arumugam pada pusingan akhir Piala Asia AFC di Iran pada 1976.
Pada 1979, Abdul Hamid akhirnya menjadi penjaga gawang utama, membantu skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC di Kuwait, menjuarai Pestabola Merdeka dan mengutip pingat emas Sukan SEA.
Bagaimanapun, atas sebab komitmen kerja, Abdul Hamid menarik diri daripada skuad pra-Olimpik 1980.
Pada zaman kemuncaknya, Abdul Hamid menganggotai skuad Kelantan yang dibarisi nama-nama besar seperti Nik Fauzi Hassan, Mahadi Yussof, Kamaruddin Mohd Nor, Yassin Mohd Noor, Nik Salleh Nik Man dan Ramli Abdullah.
Menggantikan Awang Isa selaku penjaga gol utama Kelantan dari 1974 hingga berhijrah ke Sarawak pada 1985, Abdul Hamid meninggalkan jasa cukup besar buat bola sepak tempatan, secara umumnya.
Menemani mentornya yang juga bekas jurulatih negara, Mohamed Che Su, Abdul Hamid menghabiskan dua musim di Kuching sebelum kembali ke Kelantan dan mengumumkan persaraannya. Allahyarham meneruskan kerjaya selaku jurulatih penjaga gol bersama beberapa pasukan, termasuk Kelantan, Angkatan Tentera, KM Naza, Polis Diraja Malaysia dan Negeri Sembilan.
Kepuasan Allahyarham ialah mengasuh beberapa penjaga gol termasuk Halim Napi, Hamsani Ahmad, Yazid Yassin, Allahyarham Suffian Abdul Rahman dan Azizon Abdul Kadir.
Mendirikan rumahtangga dengan Fatimahwati Haji Dahlan, pasangan itu dikurniakan lapan anak. – MalaysiaGazette