Home Politik UMNO tolak PN bukan pengakhiran kepada PN – Nik Abduh

UMNO tolak PN bukan pengakhiran kepada PN – Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ketegasan UMNO menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini sama sekali tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran kepada Muafakat Nasional (MN) oleh Pas atau UMNO.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau secara konsisten mencadangkan agar usaha menjaga dan mengukuhkan MN ini menjadi perpaduan antara kedua-dua parti itu.

”Jalan-jalan penyelesaian bukanlah sukar untuk ditemukan.

”Demi sampai ke sesuatu destinasi, walaupun terhalang oleh kesesakan, kepadatan, kebingitan dan pelbagai halangan, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) pasti berusaha membina jalan-jalan susur, pintas, bertingkat-tingkat dan sebagainya.

”Lihatlah bandar-bandar besar di seluruh dunia termasuk bandar raya Kuala Lumpur. Tiada jalan mati. Kita mesti sampai ke destinasi impian.

”Begitulah sains politik Islam. Kita perlukan pemimpin negara berjiwa kasih sayang yang luas dan damai seluas jiwa merdeka yang hanya sujud dan takut kepada Allah. Semoga perpaduan umat Islam mengatasi segalanya,” katanya penuh simbolik.

Nik Abduh juga bersetuju agar rundingan kerusi perlu dilakukan segera bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Persetujuan itu selari dengan keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas dalam muzakarahnya baru-baru ini yang mengeluarkan kenyataan tentang pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam.

Katanya, manusia biasa bertengkar dalam politik tetapi ia cerita lama yang terpaksa lalui dan terima.

Tetapi ia adalah sejarah perpecahan umat tetapi tidak boleh menjadi acuan politik Islam.

Menurutnya, perpecahan bukan tanda umat Islam yang berjaya sebaliknya akan mengekalkan kemunduran politik Islam. – MalaysiaGazette