KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah pusat membeli-belah di Solaris yang didapati menggaji ramai warga asing untuk pengoperasian premis bertingkat itu.
Operasi itu dilakukan sejurus tamatnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) pada 31 Disember yang lalu.
Serbuan itu berjaya menahan seramai 13 orang warga asing yang disyaki bekerja di premis bangunan lima tingkat tersebut.
Antara kesalahan yang dilakukan oleh warga asing dalam serbuan itu ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan itu dilakukan ini pada jam 3 petang berjaya memeriksa 60 orang warga asing berumur antara 24 hingga 42 tahun.
“Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan juru jual dan digajikan oleh majikan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semasa serbuan dilakukan, ada warga asing ini cuba menukar pakaian seragam yang dipakai untuk berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa, tetapi taktik itu tidak berjaya.
Ujar Khairul Dzaimee, seramai 13 orang lelaki warganegara India telah ditangkap kerana kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa yang dibenarkan Imigresen.
“Selain itu, seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Semasa pemeriksaan, terdapat juga pekerja warga asing yang digajikan ini telah mendaftar untuk Rekalibrasi Pulang dan dalam proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan,” katanya.
Tangkapan pekerja PATI di Pusat membeli belah Solaris oleh JIM selepas tamat program Rekalibrasi pada 31 Disember 2021.Ihsan JIM Putrajaya.
Kesemua tahanan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau juga menggesa warga asing yang menyertai Program Rekalibrasi Pulang PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
“Walaupun program ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022, JIM tidak akan berdiam diri dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi menangkap PATI dan majikan yang masih degil,” tegasnya.- MalaysiaGazette