PUTRJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalani proses penjenamaan semula supaya tidak dilihat sebagai satu jabatan yang menyusahkan rakyat, kata Ketua Pengarah baharunya, Datuk Shaharuddin Khalid.
Bercakap kepada pemberita pada hari pertama melapor diri bertugas di ibu pejabat JPJ di sini hari ini, katanya beliau akan menyemak semula sistem dan prosedur di JPJ jika ia didapati menyusahkan rakyat.
Shaharuddin, 57, yang sebelum ini merupakan Ketua Penasihat Eksekutif Pejabat Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, beliau berazam untuk meningkatkan tadbir urus jabatan tersebut bagi menjadikannya agensi penguatkuasa jalan raya yang cemerlang dan unggul di ASEAN.
Beliau menyertai Badan Pencegahan Rasuah yang kini SPRM sebagai pegawai siasatan pada 1984.
Shaharuddin berkata, beliau mempunyai visi untuk meningkatkan prestasi JPJ namun ia tidak bermaksud pada masa ini JPJ bermasalah.
“Kami (JPJ) adalah baik dan kami mahu membawa (prestasi) diri kami ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Katanya JPJ juga akan meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugasnya seperti Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan. – MalaysiaGazette