Home Nasional Azmi nafi saman sivil 1MDB ditarik balik kerana beri keterangan terhadap Najib

Azmi nafi saman sivil 1MDB ditarik balik kerana beri keterangan terhadap Najib

Peti dokumen mengenai 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke mahkamah bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir menolak dakwaan dirinya ‘terlepas’ daripada saman sivil oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana bersetuju memberi keterangan terhadap Datuk Seri Najib  Razak.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan rasuah RM2.3 bilion melibatkan dana 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri itu  hari ini.

Walaupun peguambela mewakili Najib, Datuk Hariharan Tara Singh sempat mengasak Azmi namun saksi pendakwaan ke-12 itu tetap menolak kesimpulan yang dibuat oleh pasukan pembelaan.

Tetapi pada masa sama, Azmi mengakui ada segelintir pihak mendakwa namanya telah digugurkan terutamanya yang tampil menjadi saksi dalam prosiding 1MDB.

Hariharan: Saya akan tanya anda (Azmi) beberapa soalan anda cuma jawab ya atau tidak. Tidak perlu beri keterangan panjang lebar, kemudian kita akan ke situ.

Azmi: Boleh.

Hariharan: Boleh anda sahkan dalam mahkamah hari ini sebelum ini 1MDB mahu menuntut lebih AS$3.5bilion daripada anda dan beberapa pihak lain?

Azmi: Ya, benar seperti yang dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

Hariharan: Setujukah anda sebelum ini terdapat tuntutan besar saman sivil 1MDB sebelum ini terhadap anda telah dipinda dan nama anda kemudiannya telah dibuang dari tuntutan tersebut?

Azmi: Ya, setuju.

Hariharan: Saya beritahu anda nama anda telah dikeluarkan dari saman 1MDB kerana anda bersetuju beri keterangan terhadap Datuk Seri Najib Razak?

Azmi: Tidak setuju.

Hariharan: Adakah anda setuju dengan saya beberapa nama yang tidak dipanggil sebagai saksi dikekalkan sahaja dalam saman sivil 1MDB ini?

Azmi: Ya, setuju.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2022.

Sebelum ini, pada 7 Mei 2021, 1MDB dan subsidarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited memfailkan saman terhadap Azmi, Najib dan bekas Pengarah 1MDB antaranya Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Selain itu, defendan lain seperti Mohd Hazem, Shahrol Azral, Azmi Radhi Mohamad dan bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin serta Nik Faisal Ariff Kamil.

Saman tersebut mendakwa semua mereka telah menipu dua entiti milik kerajaan itu.

Namun pada tahun yang sama selepas beberapa bulan, beberapa nama telah dikeluarkan dari saman sivil itu termasuklah Azmi, Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Valiram, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Azmi dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah turut memberitahu dirinya tidak pernah didakwa atas salah laku berhubung transaksi kewangan syarikat.

Sebaliknya dirinya hanya pernah didatangi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM untuk merekodkan kenyataanya sahaja.

Azmi pernah menjawat jawatan CFO antara 2012 hingga 2017.

Prosiding akan bersambung esok.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi ketika ini. – MalaysiaGazette