PETALING JAYA – Bekas jurulatih Geylang United pada tahun 2003 hingga 2005, Scott O’Donell sah dilantik Pengarah Teknikal (PT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantikan Datuk Ong Kim Swee.
O’Donell yang merupakan kelahiran Australia popular dalam kalangan peminat bola sepak Singapura kerana pernah beraksi bersama kelab Liga-S, Tampines Rovers.
Malah, dia juga merupakan bekas pemain import Kuala Lumpur pada tahun 1994 hingga 1995 dan cukup mengenali budaya bola sepak Malaysia serta dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.
Selain menjadi jurulatih Geylang United, dia juga mempunyai pengalaman sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kemboja pada tahun 2005 hingga 2010 sebelum menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).
Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengakui O’Donell merupakan calon yang tepat untuk jawatan tersebut memandangkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.
“O’Donell memiliki reputasi dan latar belakang yang hebat khususnya untuk mencungkil bakat akar umbi.
“Pengalaman sebagai bekas pemain Kuala Lumpur pada era 90-an selain pernah berkerja di Singapura dan Kemboja juga memudahkan dirinya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan bola sepak semasa di rantau ini,” katanya pada majlis pengumuman rasmi di Wisma FAM di sini hari ini.