Home Nasional 54 kematian akibat banjir, dua masih hilang – Polis

54 kematian akibat banjir, dua masih hilang – Polis

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali bercakap pada sidang media mengenai isu banjir yang melanda di negara ini di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 54 kematian membabitkan mangsa banjir di seluruh negara direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Manakala dua lagi mangsa dilaporkan masih hilang, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali.

Menurutnya, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 25 mangsa manakala Pahang mencatatkan 21 mangsa, Kelantan (4), Sabah (3) dan Negeri Sembilan (1).

“Secara keseluruhan seramai 54 kematian dicatatkan akibat bencana banjir dengan dua lagi masih hilang di Pahang,” katanya menerusi sidang media di Menara 1, Bukit Aman hari ini.

Ketika ditanya mengenai keadaan terkini banjir di Segamat, Hazani berkata, semuanya masih berada dalam kawalan berikutan negeri itu sendiri mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi serupa sebelum ini.

“Kelmarin ketika membuat tinjauan bersama Ketua Polis Negara, kita dapati sebanyak empat buah kampung telah terputus hubungan sepenuhnya dan menjadi ibarat sebuah pulau.

“Ia melibatkan Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Mensudut Pindah dan Kampung Spang Loi yang kesemuanya sudah tenggelam.

“Justeru, PDRM telah menempatkan sebuah Eurocopter AS355 di Segamat bagi memudahkan bantuan seperti keperluan disalurkan kepada penduduk yang terkandas,” ujarnya.

Hazani menjelaskan, akses jalan menuju ke Kampung Lubuk Lanjut turut tenggelam sepenuhnya dan bot yang ingin masuk menerusi Kampung Pudu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam setengah untuk sampai ke sana.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Segamat setakat pukul 12 tengah hari ini adalah berjumlah 3,727 orang dengan 52 pusat pemindahan sementara dibuka.

“Mungkin jumlah (mangsa banjir) akan meningkat kerana di sana masih lagi hujan,” katanya. – MalaysiaGazette