Home Nasional Lapan rumah hangus dijilat api

Lapan rumah hangus dijilat api

Anggota bomba dari balai bomba Renggam memadamkan api dalam kebakaran melibatkan rumah separuh kekal dua tingkat di Jalan Hj Siraj malam tadi.

KLUANG – Lapan buah rumah dua tingkat hangus terbakar dalam kejadian kebakaran berhampiran SJK (C) Chin Chiang, Jalan Hj Siraj, Renggam, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, seramai 25 orang anggota dari balai berkenaan dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.

Laporan mengenai kejadian itu diterima  kira-kira jam 9.21 malam.

“Sejurus itu menerima laporan itu, seramai 25 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian bersama satu jentera LFRT dari BBP Renggam dan dibantu satu jentera FRT dari BBP Ayer Hitam dan satu jentera FRT dari BBP Kluang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ketika tiba di lokasi, lapan buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat yang berkeluasan 20 x 70 kaki, sudah dijilat api.

Hasil tindakan pantas bomba, sebuah rumah berjaya diselamatkan

Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi tamat sekitar jam 1.33 pagi dan tiada kemalangan jiwa berlaku.- MalaysiaGazette