Home Nasional Petani, penternak Melaka rugi RM2.8 juta akibat banjir

Petani, penternak Melaka rugi RM2.8 juta akibat banjir

SUK Melaka State Secretary 24 hours transfer Sulaiman Md Ali Kamel Mohamad
Sulaiman Md Ali

MELAKA – Banjir yang melanda Melaka Jumaat lalu mengakibatkan golongan petani dan penternak kerugian kira-kira RM2.8 juta, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Menurut beliau, angka itu dibentangkan Jabatan Pertanian negeri pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, berdasarkan laporan yang diterima daripada pengusaha yang tampil selepas bencana beransur pulih.

“Setakat ini anggaran kerugian yang dialami RM2.8 juta melibatkan tanaman kontan, ternakan lembu, kambing dan lain-lain lagi.

“Bagaimanapun, saya tak dapat beri jumlah tepat petani dan penternak yang terjejas kerana semua dapatan ini diterima berdasarkan laporan secara berterusan,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, mesyuarat semalam juga bersetuju untuk mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi mendapatkan bantuan bagi mengatasi masalah banjir.

“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan pengeculian bayaran penggantian hak milik (berkaitan tanah) yang rosak akibat banjir.

“Pemohon perlu mengemukakan bukti yang mereka terlibat dengan banjir sebelum pengecualian dapat diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette