Home Nasional Johor lulus calon ADUN 18 tahun

Johor lulus calon ADUN 18 tahun

Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Dengan ini, Johor menjadi negeri terbaharu  membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon ADUN pada pilihan raya akan datang.

Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 itu dikemukakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad diluluskan selepas bacaan kali ketiga.

“Bahawa dengan ini Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021.

“Dan enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta,” kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Pindaan rang undang-undang itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Dalam pada itu , ketika  membentangkan usul pindaan tersebut, Hasni berkata, pindaan itu merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif berterusan kerajaan negeri melibatkan pemberdayaan orang muda Johor.

“Diharapkan agar pindaan yang dilakukan ini dapat memberikan kemeriahan dan keterujaan dalam pentas demokrasi negara dan negeri Johor, khususnya.

“Semoga pentas demokrasi kita tidak dipenuhi dengan permainan persepsi semata-mata, tetapi disemarakkan dengan budaya perdebatan idea yang matang lagi membina untuk kebaikan semua pihak,” katanya.- MalaysiaGaze

1 Komen

  1. TURUN UMUR 16 TAHUN pun tiada masalah…..TETAPI RAKYAT YANG BUKA MATA DAN HATI SANGAT MELUAT MUAK DAN MENYAMPAH DENGAN PERANGAI MP DAN ADUN YANG MELOMPAT/RASUAH/REBUT KUASA/PENTINGKAN DIRI /RASUAH/TIDAK AMANAH,,,,TETAPI SETIAP HARI MOMOKAN DEMI RAKYAT

    JALAN TERBAIK BOIKOT PRU 15…..SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT

Comments are closed.