Home Nasional Kerajaan belum batal hadiah hartanah kepada Najib – Tun M

Kerajaan belum batal hadiah hartanah kepada Najib – Tun M

Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sehingga sekarang kerajaan masih belum membatalkan keputusan Kabinet untuk memberi hadiah tanah dan rumah kepada Datuk Seri Najib Razak.

Dakwanya, walaupun kononnya Najib menolak untuk menerima hartanah tersebut tetapi akan terima akhirnya.

Meskipun Najib sudah menolak tawaran hartanah itu, Dr. Mahathir tetap mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Pekan itu masih membuat permohonan untuk hadiah tanah dan rumah walaupun memiliki berbilion ringgit.

Dalam hantaran terbaru bertajuk Najib yang ditulis di Facebook, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa setiap kali beliau menegur Najib kerana menyalahguna kuasa dan mencuri duit kerajaan, Najib akan cuba mengalihkan perhatian dari kesalahannya dengan menuduhnya juga berbuat perkara yang sama.

”Semasa dia menjadi perdana menteri satu Royal Commission of Inquiry (RCI) ditubuh untuk menyiasat kononnya saya sembunyi kehilangan 30 billion ringgit oleh Bank Negara.

”Tetapi RCI tidak dapat bukti yang saya sembunyi kehilangan ini. Bank Negara tidak dikehendaki lapor kepada saya akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan 30 billion dan meminta saya rahsiakan kehilangan ini. Akaun Bank Negara diaudit dan audit tentu dapat kesan yang bank telah sembunyi kehilangan ini jika benar dan akan lapor. Jika tidak pihak audit tentu bersalah jika tidak melapor kehilangan ini.

”Sementara Najib didapati memasukkan wang dalam akaunnya, tidak ada satu sen pun dari wang yang dikatakan disembunyi masuk akaun saya. Akhirnya Najib didapati bersalah kerana bukti menunjuk yang ia mempunyai hampir satu billion dalam akaunnya. Dan dia dihukum penjara 12 tahun dan denda 210 juta ringgit.

”Tidak ada persamaan antara jenayah yang dilaku oleh Najib dengan kononnya saya sembunyi kehilangan duit Bank Negara sebanyak 30 billion ringgit,” katanya.

Mahathir turut menjawab sindiran Najib bahawa bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu mengiktiraf projek hartanah Forest City di Johor.

Mahathir mempertahankan bahawa projek Forest City itu dibangunkan sebagai bandar mewah yang mampu dibeli hanya oleh jutawan dari negara China.

Pemilikan tanah adalah secara kekal dan bandar itu pula akan diberi taraf bebas cukai, jelasnya.

Katanya, walaupun penduduk bukan warganegara Malaysia tetapi mereka bebas ke Malaysia atau ke Singapura.

”Saya telah lawat projek ini. Pekerjanya kebanyakan dari China. Berduyun-duyun pelawat datang dari China semasa saya buat lawatan. Mereka datang untuk membeli rumah-rumah mewah yang akan dibina. Pelawat warga Malaysia tidak pun sampai dua puluh. Mereka adalah pelancong yang ingin lihat taman yang cantik yang sudah siap dibina.

”Seperti biasa jika projek ini ditamatkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ganti rugi beberapa billion ringgit perlu dibayar. Kerana Najib telah hutang berbillion ringgit, Kerajaannnya terpaksa mendapat bantuan swasta sebanyak dua billion untuk bayar faedah hutang. Yang mampu dibuat oleh Kerajaan PH ialah menasihat Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan. Country Garden akur.

”Zuraida Kamaruddin, sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengadakan majlis perasmian Dasar Komuniti Negara pada 17 Februari 2019. Saya dijemput untuk sampaikan sijil kepada antara lain Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak Kerajaan Malaysia. Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang telah pun dilulus oleh Kerajaan Najib Razak,” jawab beliau.

Mengulas mengenai projek Keretapi Pantai Timur, Mahathir menjelaskan projek itu tidak dapat ditamat kerana perjanjian telah dibuat.

Belaiu berkata, apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan kos projek dan Kerajaan PH dapat menyelamatkan RM20 billion melalui rundingan dengan kontraktor. – MalaysiaGazette