SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi institut pengajian tinggi (IPT) pertama memasang panel solar photovoltaik (PV) berskala besar yang mampu menjana tenaga elektrik berkapasiti 16.18 megawatt (MW).
Melalui kerjasama strategik dengan GSPARX Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), UPM akan memasang panel solar PV di 16 lokasi merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid dan bumbung pakir kenderaan di seluruh kampus.
Selain itu, sebuah tasik di dalam pusat pengajian itu juga akan dipasang solar terapung atau hydroponic-aqua voltaic bersepadu dengan kapasiti tenaga elektrik berjumlah 300 kilowatt (KW).
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, projek yang menelan kos RM45 juta yang akan ditanggung oleh GSPARX itu dijangka memberi penjimatan bil elektrik berjumlah RM114 juta kepada UPM dalam tempoh 25 tahun.
Katanya, pelaksanaan projek solar PV tersebut secara tidak langsung menyokong inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) di bawah Lonjakan 5 melibatkan Kemampanan Kewangan.
“Kita semua maklum bahawa IPT awam dan swasta di Malaysia mempunyai sumber dana yang terhad. Kos perbelanjaan mengurus bagi setiap pelajar pula berbeza mengikut saiz universiti, penawaran program, lokasi, produktiviti dan kecekapan pengurusan.
“Misalnya, universiti yang dikategorikan sebagai bukan universiti penyelidikan menanggung perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi bagi setiap pelajarnya berbanding universiti penyelidikan.
“Jadinya, dengan adanya projek solar PV ini, dianggarkan kira-kira 50 hingga 60 peratus penjimatan bil dapat dilaksanakan,” kata Noraini dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.
Perjanjian Bekalan Tenaha Boleh Diperbaharui (SARE) itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan mewakili GSPARX dan Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.
Projek pemasangan solar tersebut akan mengambil masa selama enam bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.
Menurut Mohd. Roslan, pemasangan panel itu mampu mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun, bersamaan pembebasan asap 3,187 buah kenderaan setahun atau penyerapan karbon dioksida oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu Megat Jalaluddin memberitahu, TNB menyediakan dana berjumlah RM300 juta bagi pemasangan solar di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 Gomen yang menyediakan kuota berkapasiti 100 megawatt sehingga tahun 2022.
Turut hadir Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullai. – MalaysiaGazette