KUALA LUMPUR – Lazimnya pelajar dari Afrika sering dikaitkan dengan jenayah sindiket penipuan love scam tetapi kali ini mereka dikesan menjadi pelacur.
Mereka memberikan perkhidmatan seks kepada warga senegara dan tempatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lepas.
Mereka hanya memilih pelanggan yang tidak membocorkan rahsia dan setia sahaja.
Pergerakan mereka secara sistem nomad atau berpindah randah dari satu hotel ke penginapan lain yang mewah dengan tempoh menetap maksimum hanya dua minggu sebagai mengelak aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.
Namun ia tidak tidak bertahan lama apabila dibongkar hasil risikan dan penyamaran pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selama empat bulan sejak September tahun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi kali ini menarik kerana kali pertama kali dalam tempoh tiga tahun mengetuai JIM, kegiatan tidak bermoral membabitkan wanita Afrika dikesan dan berjaya dilumpuhkan.
Dalam serbuan di dua unit tingkat 39 sebuah apartmen servis di Bukit Bintang, seramai enam wanita Afrika berusia awal 20-an iaitu empat dari Tanzania dan dua dari Uganda ditahan melacurkan diri dengan menjadikan kondominium serta apartmen di kawasan elit itu sebagai markas pelacuran secara tersembunyi.
“Sementara itu, lima daripadanya merupakan pelajar iaitu empat menuntut di sebuah kolej yang sama di Taman Shamelin Perkasa, Cheras manakala seorang lagi pelajar menuntut di pusat bahasa di Subang manakala seorang lagi wanita tinggal lebih masa menggunakan pas lawatan sosial.
“Modus operandi wanita berkenaan melacur adalah sudah tentu sepertimana diketahui seperti sindiket lain iaitu menggunakan aplikasi WeChat dengan tempahan oleh pelanggan dibuat terlebih dahulu kemudian bayaran dimasukkan ke dalam akaun selain secara tunai.
“Kebanyakan pelanggan dari sekitar Lembah Klang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar.
“Berdasarkan risikan, jumlah bayaran yang dikenakan oleh pelajar wanita Afrika adalah adalah antara RM500 hingga RM600 untuk satu malam dan mereka boleh meraih pendapatan agak lumayan iaitu diantara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.
“Kebanyakan pelanggannya adalah dari Lembah Klang membabitkan pelbagai latar belakang termasuk pelajar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dilokasi serbuan malam tadi.
Tambah Khairul Dzaimee, pihaknya turut menahan empat pelanggan mereka berusia 30-an terdiri daripada seorang warga tempatan manakala selebihnya warga Afrika.
Manakala pelanggan lelaki yang dikenal pasti rakan senegara dari Afrika juga telah digari dan dibawa keluar dengan muka mereka ditutup menggunakan kain hitam oleh JIM.
Menurut Khairul Dzaimee, kesemua mereka akan ditahan di depot Tahanan Sementara Imigresen dan akan diusir ke negara asal masing-masing serta akan digantung seumur hidup daripada memasuki semula ke Malaysia pada masa depan.
Justeru, jelasnya oleh kerana kesemua wanita berkenaan merupakan pelajar swasta, JIM akan menyemak rekod kehadiran mereka di kolej masing-masing.
“Saya juga menghubungi agensi berkaitan yang menguruskan kemasukan pelajar antarabangsa ini dan akan mengadakan perbincangan lanjut bagaimana untuk melaksanakan syarat-syarat yang lebih ketat kepada warganegara yang kita kenalpasti daripada negara-negara yang berisiko tinggi.
“Kami juga akan menyiasat selepas ini kerana sudah tentu ada individu tertentu yang menguruskan mereka dalam kegiatan tidak bermoral ini dan diakui mereka menjadikan kondominium mewah dan aparmen servis di tengah pusat bandar raya sebagai markas pelacuran elak mudah dikesan penguat kuasa.
“Justeru siasatan kami juga mendapati mereka tidak tinggal di apartmen mewah berkenaan sebaliknya menyewa untuk tempoh tertentu mengikut permintaan seks yang wujud di sesebuah lokasi itu sebelum berhijrah mencari penginapan mewah lain dengan kadar sewa bulanan semasa RM2,500 hingga RM3,000,’ ujarnya.
Khairul juga memaklumkan pemilik premis berkenaan yang menyewa unit berkenaan kepada pelajar wanita Afrika untuk melakukan operasi maksiat berkenaan akan dikenal pasti untuk siasatan lanjut.
“Salah seorang wanita Afrika yang dicekup melacur malam ini mengaku tinggal lebih masa yang ditetapkan iaitu sebelum Mac 2020 lagi manakala lima lagi pelajar wanita pula berada di sini sejak 2019 lagi,” tegasnya.
Katanya, keenam-enam pelajar wanita dan juga empat pelanggan lelaki itu akan direman selama 14 hari di bawah Perkara 39 B peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan juga Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette