SHAH ALAM – Seorang bekas pensyarah akademi animasi dan grafik tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pilihan kerana gagal melaporkan aktiviti rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara Januari hingga Februari 2021 lalu.
Tertuduh, Arvind Anandhan, 30, bagaimanapun mengaku bersalah setelah jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, pada 17, 18, 18 dan 27 Januari serta 16 Februari 2021, tertuduh yang bertugas sebagai Digital Artist di Camou Studio & Academy Sdn Bhd telah diberikan wang suapan berjumlah RM1,300 oleh lima pelajarnya, masing-masing berjumlah RM300 dan RM100 di CIMB Cawangan Cyberjaya.
Ia sebagai dorongan untuk mengubah keputusan subjek Animation 2-Rigging daripada gagal kepada lulus.
Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang mana dia gagal melaporkan pemberian rasuah tersebut kepada pihak SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.
Dia juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya SPRM, Noryusriza Zulkifli menegaskan kesalahan yang dilakukan tertuduh amat berat dan pihak mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal dengan perbuatan rasuah itu sebagai pengajaran kepada pihak lain.
Meskipun tertuduh merupakan kali pertama kali didakwa di mahkamah, di samping faktor hilang pekerjaan sejak tujuh bulan lalu dan mempunyai masalah penyakit jantung namun mahkamah perlu memberikan hukuman berdasarkan kepentingan umum dan tidak mengatasi kepentingan peribadi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya hanya denda yang rendah susulan dia perlu menanggung seorang adik yang masih belajar, bapa yang tidak bekerja dan ibunya.
Setelah mempertimbangkan permohonan kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh dikecualikan hukuman penjara namun dikenakan denda berjumlah RM10,000 bagi kelima-lima pertuduhan pilihan itu.
Jika tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman sebulan penjara bagi setiap kesalahan. – MalaysiaGazette