Home Sukan Bibi Ramjani diyakini lonjak prestasi bola sepak Kelantan

Bibi Ramjani diyakini lonjak prestasi bola sepak Kelantan

KOTA BHARU, 17 Sept -- Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baharu Bibi Ramjani Ilias Khan (duduk tengah) dan Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah (duduk dua, kanan) bergambar bersama sebahagian perwakilan selepas memenangi undian pada Mesyuarat Kongres KAFA Kali Ke-63 malam ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Pengalaman Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baharu Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai usahawan diyakini mampu mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak Kelantan.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) Mahizi Mahmood berkata pemilihan Bibi Ramjani, 46, jelas membuktikan kehendak penyokong dan anggota gabungan KAFA mahu perubahan kepada kepimpinan KAFA yang sering menghadapi masalah kewangan.

“Bola sepak adalah untuk semua, semua orang boleh memimpin tidak kira jantina, Bibi Ramjani telah membuktikan bola sepak tidak hanya dipimpin lelaki sahaja,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bibi Ramjani, memecah tradisi bola sepak Kelantan apabila dipilih sebagai wanita pertama menerajui KAFA sejak ditubuhkan pada 1946, pada Kongres KAFA Kali ke-63 di sini, semalam.

Beliau merupakan wanita kedua di negara ini yang dilantik sebagai presiden persatuan bola sepak selepas pelantikan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah sebagai presiden Johor Darul Ta’zim (JDT) Julai tahun lepas.

Usahawan batik dan pemaju perumahan itu akan memimpin persatuan berkenaan bagi penggal 2017 hingga 2021, setelah menewaskan pencabarnya bekas Naib Presiden KAFA Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Mahizi berkata usahawan itu harus membuktikan beliau mampu memikul mandat yang diamanahkan itu walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan sukan tersebut.

“Mungkin beliau mempunyai idea tersendiri untuk merubah KAFA dan pasukan Kelantan dengan pengalaman sebagai seorang usahawan yang berjaya di negeri ini dan dibantu oleh anggota jawatankuasa yang baharu.

“Beliau dipilih mungkin kerana dilihat mempunyai kelebihan dan keupayaan mencari wang sebagai seorang ahli perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Jajahan Kota Bharu, Mohd Shaufi Mohamed berkata pelantikan Bibi Ramjani diharap dapat memulihkan prestasi pasukan Kelantan selain mengembalikan semula keyakinan penyokong.

“Jatuh bangun sukan bola sepak bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh barisan kepimpinan persatuan dalam membentuk pasukan yang kuat,” katanya.

Bekas pemain Kelantan Dali Omar pula berkata pemilihan Bibi Ramjani berkemungkinan beliau mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membantu dana persatuan itu.

“Sebagai bekas pemain, saya lihat untuk seseorang mengurus bola sepak agak sukar sekiranya tidak mempunyai pengalaman, jika perancangan tidak baik mungkin ia akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau berharap barisan kepimpinan baharu KAFA akan bekerja keras untuk meningkatkan prestasi pasukan Kelantan.- BERNAMA