Home Utama Pondan lindungi Long Tiger akan didakwa esok

Pondan lindungi Long Tiger akan didakwa esok

Seorang lelaki berperwatakan perempuan direman di Mahkamah Tangkak, Johor mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan baru-baru ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang berperwatakan wanita akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok atas kesalahan melindungi Long Tiger.

Suspek berusia 46 tahun itu ditahan polis pada 28 Disember lalu bersama Long Tiger atau Abdul Hamim Ab Hamid, 32, di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan iaitu melindungi suspek yang lari dari tahanan sah.

“Suspek akan dituduh esok di Mahkmah Majistret Sungai Petani dan jika disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita hari ini.

Adzli.

MalaysiaGazette pada 28 Disember melaporkan, Long Tiger diberkas selepas hampir 15 hari menjadi buruan polis susulan lari dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor.

Abdul Hamim Ab Hamid, 32, yang merupakan etnik Rohingya itu diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman kira-kira jam 3.15 petang di sebuah kediaman di Jalan Kuala Ketil di sini.

MalaysiaGazette difahamkan, sebaik menyedari kehadiran pihak polis, suspek cuba meloloskan diri melalui bumbung sebelum berjaya diberkas.

Suspek dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, dada, bibir serta tangan susulan tergelincir jatuh dari bumbung ketika dalam cubaan melarikan diri.

Selain Long Tiger, polis turut menahan seorang lelaki berperwatakan perempuan berusia 46 tahun di dalam salah sebuah bilik di kediaman tersebut. – MalaysiaGazette