KERALA – Seorang wanita yang telah menculik dan melarikan seorang bayi yang baru dilahirkan ditahan polis tidak sampai 24 jam melakukan jenayah itu.
Insiden itu berlaku sekitar pukul 3.30 petang Khamis lalu di Kolej Perubatan Kerajaan di Kottayam.
Semasa kejadian suspek seorang wanita menyamar dan berpakaian sebagai jururawat menculik bayi itu sebelum ditangkap di sebuah hotel terletak berhampiran hospital tersebut.
Polis berjaya menemui bayi yang diculik itu bersama suspek sebelum diserahkan kepada ibu mangsa yang masih dirawat di wad bersalin hospital berkenaan.
Jurucakap hospital berkenaan mendakwa suspek wanita itu cuba berlakon sebagai jururawat di kolej pergigian.
Menurut ibu bayi perempuan itu, suspek yang menyamar sebagai jururawat mendekatinya sebelum mengambil bayi dengan alasan untuk pemeriksaan perubatan dengan doktor.
Setelah menunggu lebih satu jam, ibunya mula rasa tidak sedap hati selepas bayi yang dibawa jururawat belum dikembalikan.
Wanita berkenaan kemudian pergi mencari bayinya sebelum sedar anaknya yang baru dilahirkan itu telah diculik suspek ‘jururawat’.
Ibu berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gandhinagar.
Polis berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum berjaya menjejaki pergerakan suspek ‘jururawat’ dan identitinya dikenalpasti.
Tidak sampai 24 jam selepas insiden penculikan polis berjaya mengesan kedudukan suspek yang tinggal di hotel berhampiran sebelum mencekup suspek tersebut untuk tindakan lanjut.
Polis tidak menolak kemungkinan penculikan bayi itu oleh suspek wanita adalah sindiket yang menjual bayi di pasaran gelap di negara itu.
Bagaimanapun siasatan lanjut diteruskan ke atas wanita itu untuk menjejaki saki baki suspek geng culik dan pemerdagangan kanak-kanak yang bersubahat dalam kegiatan jenayah itu. – Indiatoday.In