JOHOR BAHRU – Usaha penambahbaikan dan penyelenggaran membabitkan kawasan hot spot banjir di setiap daerah akan dikaji secara terperinci oleh Kerajaan Negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah itu bagi mengelakkan kerugian yang perlu ditanggung akibat bencana itu.
“Kita akan meneliti secara terperinci setiap daerah yang ada di Johor, bermula dengan kawasan-kawasan yang selalunya merupakan hot spot yang memang kerap berlaku banjir, perlu langkah-langkah penyelenggaraan.
“Begitu juga penambahbaikan infrastruktur sehinggalah kepada pengurusan sistem-sistem saliran yang ada dalam negeri ini. Jadi ini langkah yang kita akan beri tumpuan lebih pada tahun-tahun mendatang,” katanya ketika berucap dalam Penutup Program Festival Permainan Tradisional Negeri Johor 2021, di Savanna Hill Resort, di sini hari ini.
Beliau berkata, sungai di negeri ini juga perlu diselengara secara berkala bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara tidak diingini.
“Kita perlu cari jalan penyelesaian jangka panjang, sungai-sungai perlu diselengara berkala dan tidak boleh bila mula tertimbus atau tersekat, barulah kita hendak menjalankan kerja-kerja penambahbaikan. Sebaliknya ia perlu dilakukan berterusan,” katanya.
Hasni turut menyifatkan Johor antara negeri maju dan kerosakan berpunca daripada banjir akan menelan kos yang besar, justeru pelan jangka panjang perlu diberi tumpuan.
“Kita negeri maju, bandar, pekan, kampung dan rumah-rumah dahulu tidak macam 30 tahun lepas, jadi apabila berlaku banjir mungkin kerosakan sekitar RM100,000 hingga RM200,000 bagi satu kampung.
“Seperti apa yang kita lihat di Taman Sri Muda, Selangor kerugian beratus juta. Jadi kalau hendak selamatkan kerugian yang perlu ditanggung, pengurusan banjir perlu menjadi dasar tumpuan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette