JAKARTA – Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia memulakan penghantaran seramai 419 rakyatnya untuk menunaikan ibadah umrah semalam iaitu pelepasan pertama ke Tanah Suci selepas dua tahun tercetusnya pandemik Covid-19.
“Semoga Tuhan memberkati kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan juga untuk negara,” kata Pengarah Urusan Haji dan Umrah kementerian itu, Hilman Latief dalam satu kenyataan memetik laporan agensi berita Antara.
Menurut beliau, mengikut perancangan awal jemaah umrah dijadual berangkat pada Disember iaitu bulan lalu namun ia terpaksa ditangguhkan berikutan situasi Covid-19 di Indonesia ketika itu.
Katanya, kumpulan pertama jemaah umrah 2022 itu diingatkan supaya mematuhi semua peraturan untuk membendung penularan Covid-19 baik dalam negara mahu pun di Arab Saudi. .
“Tolong bertanggungjawab di atas kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan Indonesia dan Arab Saudi. Tunjukkan bahawa jemaah umrah Indonesia patuh kepada perturan terutamanya dalam protokol kesihatan. Ingat, pandemik Covid-19 belum berakhir lagi,” tegasnya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang memuktamadkan peraturan berkaitan ibadah umrah semasa pandemik termasuk membabitkan integrasi sistem dengan kerajaan Arab Saudi.
Katanya, semua usaha itu bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan dan pelindungan jemaah ketika menunaikan umrah.
“Kami akan menyemak keperluan-keperluan kesihatan yang ditetapkan oleh kedua-dua kerajaan dengan memastikan sijil vaksinasi, ujian kesihatan, kuaranin dan saringan kesihatan untuk jemaah umrah,” katanya.
— BERNAMA