Home Nasional Pemilik bengkel, enam pekerja warga asing dicekup curi komponen kereta

Pemilik bengkel, enam pekerja warga asing dicekup curi komponen kereta

PDRM
Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau dekat sini, semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan pemilik bengkel bersama enam pekerja warga asing yang disyaki mencuri komponen kenderaan menerusi serbuan di sekitar Ampang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 50 tahun yang menghantar kereta jenis Proton Putra miliknya di bengkel itu pada 18 Disember lepas.

“Pada 2 Januari sekitar pukul 12.30 tengah hari, pengadu telah pergi semula ke bengkel yang terletak di Taman Keramat itu untuk mengambil keretanya namun mendapati beberapa komponen telah hilang dipercayai dicuri.

“Antara komponen yang hilang adalah unit kawalan elektronik (ECU), palam kabel, kamera papan pemuka, ECU F1CD, bateri serta penutup palam.

“Pengadu kemudiannya terus mengambil kereta miliknya kerana bimbang ada komponen lain yang akan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pemeriksaan mendapati kesemua pekerja warga asing itu tidak mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Jelasnya lagi, ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemilik bengkel berusia 60 tahun dan pekerja warga asing didapati negatif selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek warga asing kini direman sehingga 19 Januari depan manakala pemilik bengkel yang ditahan reman sehingga hari ini akan diberi jamin sementara kes dilengkapkan,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39(b) dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/1963. – MalaysiaGazette