PHNOM PENH – Kemboja telah melaporkan penularan pertama dalam komuniti Covid-19 varian Omicron oleh seorang penduduk Phnom Penh, kata Kementerian Kesihatan negara itu.
Lelaki berusia 23 tahun itu disahkan dijangkiti varian Omicron dalam ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dijalankan oleh Institut Pasteur di Kemboja pada Sabtu, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Lelaki itu melakukan ujian semasa dia menjaga sepupunya yang sakit di sebuah hospital di Phnom Penh, kata kementerian itu.
Tambahnya lagi, sepupunya yang datang ke Kemboja dari Australia pada 27 Disember, juga telah diuji positif varian Omicron.
Menurut laporan Xinhua, Setiausaha negara dan jurucakap kementerian kesihatan Or Vandine berkata kedua-dua mereka telah pergi ke banyak tempat di Phnom Penh dan wilayah Kampong Thom, Siem Reap dan Kampot.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Kemboja Li Ailan pada Ahad menyeru orang ramai supaya berhati-hati untuk mengekang penyebaran varian Omicron ke dalam masyarakat.
Kemboja setakat ini telah merekodkan 151 kes Omicron yang disahkan, dengan yang terbaru adalah penularan komuniti pertama. – Xinhua