Home Nasional MPOGCF tingkat usaha tangkis kempen anti minyak sawit

MPOGCF tingkat usaha tangkis kempen anti minyak sawit

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) akan melipatgandakan kerjasama dengan syarikat-syarikat perladangan dan agensi-agensi kerajaan untuk berusaha menangkis kempen anti minyak sawit.

Yayasan berkenaan dalam masa sama akan memanfaatkan peranan penting media tradisional dan media baharu bagi menyampaikan maklumat yang tepat sekaligus membuktikan industri sawit Malaysia adalah bertanggungjawab dan mampan alam sekitar.

Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, yayasan berkenaan komited untuk sentiasa bersama-bersama pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menggunakan pendekatan menyerang dalam menangkis persepsi negatif khususnya melibatkan alam sekitar.

“Usaha-usaha bagi melindungi industri sawit Malaysia akan lebih berkesan dengan penglibatan semua pihak kerana industri ini telah terbukti memberi sumbangan besar kepada sosial ekonomi negara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Zamakhshari menyifatkan seruan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin supaya semua agensi berkaitan mempergiatkan usaha menangkis kempen anti minyak sawit negara merupakan tepat pada masanya kerana pendekatan ‘defensive’ tidak lagi sesuai.

Justeru jelas beliau, antara agensi kerajaan yang bakal didekati MPOGCF untuk jalinan kerjasama ini adalah Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Selain itu yayasan berkenaan juga akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri, jabatan perhutanan negeri-negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dalam dan luar negara serta syarikat-syarikat korporat yang terlibat secara aktif dalam inisiatif pemuliharaan biodiversiti negara.-MalaysiaGazette