Home Utama Benarkah 14 peratus jemaah umrah tidak miliki rekod vaksin? – SAFTTA

Benarkah 14 peratus jemaah umrah tidak miliki rekod vaksin? – SAFTTA

Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa 14 peratus jemaah umrah yang diuruskan oleh agensi pelancongan tidak mempunyai rekod vaksin amat mengejutkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa 14 peratus jemaah umrah yang diuruskan oleh agensi pelancongan tidak mempunyai rekod vaksin amat mengejutkan.

Presiden, Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA), Fathir Badri Alhadad berkata, ini kerana prosedur operasi standard (SOP) untuk seseorang jemaah umrah yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi sangat ketat.

Maklumat jenis vaksin serta tahap kesihatan perlu dimasukan ke aplikasi mereka yang dikenali sebagai Muqem 72 jam sebelum jemaah memulakan penerbangan.

Aplikasi itu juga turut bersambung dengan dua aplikasi lagi iaitu Tawakalna dan Eatamarna yang mana informasinya saling berpaut untuk mendapatkan slot mengerjakan umrah, memasuki Raudah dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Oleh yang demikian, SAFTTA menuntut maklum balas segera daripada Kementerian Kesihatan adakah 14  yang disebut itu semuanya melibatkan jemaah umrah.

”Kami rasa agak terkilan kerana sudah memasuki empat hari kenyataan tersebut dibuat tetapi KKM masih menyiasat perkara tersebut.

”Lebih lama masa KKM ambil, lebih teruk persepsi masyarakat terhadap jemaah umrah. Ini dapat kita lihat dan baca di dalam media sosial yang rata-rata masyarakat menyalahkan jemaah umrah sanggup menipu untuk mengerjakan ibadah tersebut.

”Sehingga menarik perhatian beberapa mufti untuk memberikan komen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fathir menambah, jika terbukti perkara itu berlaku dalam kalangan jemaah dikendalikan oleh agensi pelancongan, SAFTTA akan menyokong untuk agensi tersebut diambil tindakan tegas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC).

Sehubungan itu juga, SAFTTA menyambut baik kenyataan MoTAC pada 9 Januari lalu kerana begitu perihatin terhadap nasib agensi pelancongan yang berdepan dengan waktu-waktu sukar ketika ini.

”Kami juga mengharapkan satu perbincangan berkaitan SOP dapat diadakan dalam masa terdekat ini. Kami juga telah mempunyai beberapa cadangan untuk dikongsikan yang mungkin dapat membantu pihak MoTAC dan Majlis Keselamatan Negara mengatasi permasaalahan jemaah umrah ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

17 kes Omicron tiada sejarah vaksinasi, 12 dalam kalangan jemaah umrah – Menteri Kesihatan