Home Ekonomi IPP November 2021 naik 9.4%

IPP November 2021 naik 9.4%

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 9.4 peratus pada bulan November 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 11.3 peratus dalam indeks pembuatan, 5.1 peratus dalam indeks elektrik dan 3.7 peratus dalam indeks perlombongan.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 0.9 peratus didorong oleh indeks pembuatan dan indeks perlombongan.

Jabatan Perangkaan berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 11.3 peratus pada bulan November 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus pada bulan Oktober 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada November 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (17.8%), produk makanan, minuman & tembakau (12.9%) dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (8.5%).

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (12.5%) dan industri berorientasikan domestik (8.8%).

Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer,
produk elektronik & optikal dan pembuatan kok & produk petroleum bertapis.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan.

Sektor Pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan turut meningkat 0.1 peratus berbanding Oktober 2021, yang mana kenaikan ini turut digambarkan oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi berbanding bulan lalu terutamanya dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah & plastik, kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain dan produk peralatan elektrik & elektronik (E&E).

Sementara itu, musibah banjir yang berlaku di beberapa negeri pada Disember 2021 dijangka memberi impak yang minimum terhadap prestasi sektor pembuatan dan berkemungkinan akan meningkatkan permintaan terutamanya perkakasan rumah akibat kerosakan yang berlaku semasa banjir.

Output sektor Perlombongan tumbuh 3.7 peratus pada bulan November 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh peningkatan 10.2 peratus dalam indeks gas asli.

Sementara itu, indeks minyak mentah dan kondensat menguncup 4.4 peratus.

Indeks perlombongan merekodkan peningkatan 6.8 peratus berbanding bulan yang lalu.

Output sektor elektrik berkembang 5.1 peratus pada bulan November 2021 berbanding bulan yang sama tahun lalu tetapi dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks ini menyusut 5.0 peratus.

IPP bagi tempoh Januari hingga November 2021 merekodkan pengembangan 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya didorong oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (9.6%), indeks elektrik (2.1%) dan indeks perlombongan (1.9%). – MalaysiaGazette