GEORGE TOWN – Sebuah bot tunda dan tongkang ditahan di perairan negeri ini di sini, semalam kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran Ketua Jabatan Laut Malaysia.
Pengarah Maritim (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dan tongkang itu dikesan ketika penguatkuasanya melakukan rondaan pada jam 10.15 pagi.
Hasil pemeriksaan itu membawa kepada penemuan bot Nautillus dan tongkang Singa Besar pada jarak 0.5 batu nautika barat Penaga, di sini.
Katanya, pemeriksaan mendapati tongkang bermuatan jentera dan bot tunda itu dikendali lapan kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada enam warga Indonesia serta dua warga tempatan.
“Kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Abd Razak, nakhoda bersama seorang ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut kesalahan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sekali lagi kita beri peringatan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut,” ujar beliau.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau talian kecemasan MERS 999 bagi sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut. – MalaysiaGazette