Home Seni Hidup Ibu sayu terima ijazah anak

Ibu sayu terima ijazah anak

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman (dua kiri) bertanyakan sesuatu dengan waris graduan, Norliza Abdullah (kanan) sebagai wakil arwah anaknya, Nuraida Sabrina Shamsul Anuar yang menerima Bacelor Sains Komputer (Rangkaian Komputer) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 di UPM, Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

SERDANG – “Saya gagah ke sini untuk mengambil ijazah anak kerana bangga dengannya,” luah Norliza Abdullah.

Norliza adalah ibu kepada Allahyarham Nuraida Sabrina Shamsul Anuar, 23, graduan Universiti Putra Malaysia (UPM),  yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada tahun lalu.

Allahyarham sepatutnya menerima ijazahnya pada Majlis Konvokesyen ke-44 UPM hari ini.

Norliza berkata, Allahyarham meninggal dunia semasa menjalani latihan industri di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah pada 11 Jun 2020 tahun lalu .

Norliza, 50 tahun, mencuri perhatian apabila naik ke pentas bersama anak keduanya untuk menerima Ijazah Sains Komputer (Rangkaian Komputer) milik Nuraida yang disampaikan oleh Pro Canselor, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Norliza yang ditemui selepas sesi konvokesyen itu berkata, lapan bulan sebelum kehilangan anaknya, suaminya telah terlebih dahulu dijemput illahi atas sebab yang sama.

Sejak itu, Nuraida banyak membantunya mengambil alih tugas Allahyarham ayahnya.

Katanya, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik, menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan taat.

Berkongsi detik-detik kehilangan anaknya, Norliza berkata: “Arwah sihat saja, tiada tanda yang dia sakit tapi bila hari Rabu dia dah tak boleh berjalan.

“Dia boleh bawa kereta macam biasa, cuma dia tak boleh bergerak. Sampai ke malam tu nampak lain, esok tu meninggal,” luahnya.

Norliza Abdullah memegang Barcelor Sains Komputer (Rangkaian Komputer) milik anaknya, Nuraida Sabrina Shamsul Anuar yang telah meninggal dunia pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 di UPM, Serdang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JANUARI 2022.

Katanya, dia hadir ke konvokesyen hari ini kerana majlis ini amat penting buat Allahyarham selepas gigih menamatkan pengajian selama empat tahun di UPM.

“Saya nekad untuk datang sebab ternampak-nampak arwah. Arwah suami juga sentiasa menyokong Nuraida supaya dia menjadi  semangat kepada adik-adiknya,” kata wanita itu dengan sebak.

Norliza juga tidak menahan sayunya apabila memberitahu, UPM ada bertandang ke rumahnya dan mengadakan majlis tahlil untuk arwah.

Tambahnya, walaupun anaknya telah tiada, sebagai seorang ibu, dia bangga dengan Allahyarham dan berharap semoga kejayaan Nuraida dapat menjadi contoh yang baik kepada orang lain. – MalaysiaGazette