Home Ekonomi AirAsia dapat sijil kelulusan latihan penerbangan dron

AirAsia dapat sijil kelulusan latihan penerbangan dron

Latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

KUALA LUMPUR – AirAsia memperoleh Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk menjalankan latihan penerbangan dron.

Latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

Ketua Penguatkuasaan Keselamatan AirAsia Group, Kapten Ling Liong Tien berkata, syarikat itu berbesar hati untuk menjadi pusat latihan pertama di Malaysia yang memperoleh kelulusan daripada CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO).

”Pasukan kami telah bekerjasama dengan CAAM dalam jangka masa panjang dan kami berterima kasih kepada mereka atas sokongan berterusan dan berharap untuk memulakan kelas pertama kami dalam beberapa minggu akan datang.

“Idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran kami selama dua dekad. Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos.

“Kami komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas,” katanya, di sini.

Latihan ini dijangka menyokong projek perintis menggunakan dron automatik pada masa akan datang bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang airasia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, revolusi penghantaran menggunakan dron adalah pasaran yang lumayan.

Di peringkat global, industri ini telah pun berkembang pesat dan dijangka mencecah AS$7.388 bilion menjelang 2027.

”Program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars kami dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia. Tiada pengalaman terdahulu dalam pengendalian dron diperlukan menjadikan ini peluang terbaik untuk semua orang mengambil bahagian dalam latihan ini.

”Selain itu, latihan ini menyokong visi kami untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran dron dalam bandar pada masa hadapan untuk pelbagai barangan termasuklah barangan runcit daripada platform e-dagang airasia. Kami juga percaya ia berpotensi untuk menyokong perkhidmatan penghantaran ke kawasan terpencil, contohnya penghantaran bekalan penting semasa bencana alam,” katanya.

Kelas latihan juruterbang dron komersial bermula dari 24 Januari.

Calon yang berminat tidak memerlukan pengalaman penerbangan atau penerbangan terdahulu dan boleh mendaftar untuk salah satu kursus berikut melalui laman web AirAsia Academy. – MalaysiaGazette