VARIAN IHU berasal dari Cameroon, dikesan di Perancis dan laporan awal menunjukkan bahawa ia lebih berbahaya daripada Omicron. Laman web CNBC melaporkan bahawa varian IHU atau strain B.1.640.2 telah wujud sebelum varian Omicron, namun ia hanya menjangkiti 12 kes di Perancis yang dikenal pasti
setakat ini, berbanding 100,000 kes jangkitan Omicron di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Bagaimanapun memetik kata saintis Perancis, varian baharu yang namanya diambil daripada huruf awal universiti mereka di mana ia itu ditemui, boleh menjadi lebih mudah merebak dan lebih mampu menentang vaksin, menurut apa diketahui mengenainya setakat ini.
Mutasi yang tinggi
Para saintis Perancis di Institut Epidemiologi IHU Mediterranean berkata bahawa varian baharu virus SARS-CoV-2 mempunyai 46 mutasi, 14 daripadanya terdapat pada protein sebaran virus itu.
Kira-kira 12 kes jangkitan varian IHU dilaporkan setakat ini di Marseille, Perancis, walau bagaimanapun, jangkitan yang sama masih belum diketahui atau dikesan di negara-negara lain.
Namun, sampel mutasi baru ini belum diambil untuk pemeriksaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Varian itu dipercayai berasal dari Cameroon atau Perancis, kerana orang pertama yang dikesan datang ke Perancis dari Cameroon.
Virus yang berbeza
Varian atau strain B.1.640.2 virus SARS-CoV-2 ialah jenis virus yang berbeza kerana ia mempunyai lebih banyak perubahan dalam gennya berbanding versi asal virus itu, yang pertama kali muncul pada 2019.
Para penyelidik menjelaskan bahawa dua mutasi dalam protein spike varian IHU, yang merupakan sebahagian daripada virus yang mengikat dan membenarkan menjangkiti sel manusia, adalah N501Y dan E484K.
Mutasi N150Y muncul buat kali pertama dalam varian alfa atau B.1.1.7 yang mana ia terbukti menyebabkan peningkatan kebolehjangkitan virus dan penyebaran jangkitan antara manusia.
Manakala E484K ialah mutasi yang membolehkan virus melarikan diri daripada tindak balas antibodi sistem imun manusia, yang bermaksud bahawa jenis virus dengan mutasi ini mampu menjangkiti individu dengan lebih mudah berbanding varian lain, walaupun mereka telah divaksin.
Mutasi ini terdapat dalam strain Alpha B.1.1.7, Beta B.1.351 dan Gamma P.1. Justeru, para saintis percaya bahawa kehadiran mutasi ini menunjukkan varian IHU berkemungkinan lebih mudah dihantar dan lebih tahan terhadap vaksin daripada varian Omicron.
Sebelumnya, varian Omicron dilaporkan mempunyai lebih banyak mutasi daripada varian lain, yang bermaksud ia boleh melarikan diri daripada antibodi daripada vaksinasi atau jangkitan sebelumnya.
Penyelidik Australia mengatakan bahawa tubuh manusia mempunyai barisan pertahanan kedua terhadap varian Omicron, jika antibodi gagal untuk melawannya.
Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Melbourne dan Hong Kong untuk Sains dan Teknologi, menunjukkan bahawa barisan pertahanan kedua ialah sel T, sejenis sel darah putih yang berasal daripada sumsum, komponen penting sistem imun.
Khabar positif
Varian Omicron mengandungi lebih banyak mutasi daripada varian lain, yang mana ia boleh menjauhkan diri daripada antibodi daripada vaksinasi atau jangkitan sebelumnya. Walau bagaimanapun, sel T dalam kes ini mampu dan berkesan dalam memerangi mutasi ini, menurut kajian itu.
Pasukan itu juga telah mengkaji serpihan protein Coronavirus daripada pesakit yang divaksin atau dijangkiti. Mereka mendapati bahawa separuh daripada protein virus yang mengandungi mutasi Omicron kelihatan pada sel T.
"Ini mengurangkan peluang Omicron menjauhkan diri dari pertahanan sel T," kata seorang penyelidik di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong, Ahmed Abdelkader, yang turut bersama mengarang kajian itu.
Bagaimanapun menurutnya, tindak balas sel T sahaja tidak menghalang jangkitan atau penularan. Walau bagaimanapun, mereka menawarkan harapan perlindungan daripada penyakit tersebut.
Dalam pada itu, Profesor di Universiti Melbourne, Matthew McKay, yang turut terlibat dalam kajian itu berkata, penemuan mereka adalah sesuatu berita yang positif bagi masyarakat dunia.
”Walaupun Omicron atau beberapa varian lain boleh mengurangkan antibodi, tindak balas sel T yang kuat masih boleh dijangka untuk melindungi badan serta membantu mencegah gejala yang teruk,” tambahnya.
Berdasarkan data tersebut, beliau menjangkakan bahawa tindak balas sel T yang dijana oleh vaksin dan penggalak, akan terus membantu melindungi daripada Omicron, seperti yang dalam pemboleh ubah lain.
“Kami percaya ini memberikan beberapa khabar positif dalam perjuangan global menentang Omicron."
Dalam pada itu, Israel mengumumkan kemunculan kes pertama yang dipanggil Florona, iaitu jangkitan berganda dengan virus corona dan influenza.
Seorang pakar epidemiologi WHO di Wilayah Mediterranean Timur, Dr Amjad Al-Khouli melaporkan terdapat pesakit yang telah disahkan menghidap dua jenis virus pada masa yang sama, iaitu virus influenza dan Covid-19.
Al-Khouli menyatakan ini adalah kali pertama jangkitan berganda ini terbukti secara konklusif, walaupun terdapat beberapa laporan sebelum ini mengesahkan kemungkinan jangkitan berganda antara Covid-19 dan virus influenza adalah lain.
Langkah berjaga-jaga
“Setakat ini, jangkitan berganda belum disahkan oleh WHO, tetapi apa yang kita tahu setakat ini ialah jangkitan berganda berlaku secara tidak sengaja,” kata Al-Khouli.
Menurutnya, langkah berjaga-jaga untuk mencegah jangkitan dengan kedua-dua virus ini adalah perlu termasuk penggunaan pelitup muka, mengekalkan jarak fizikal serta mengelakkan tempat yang sesak dan pengudaraan kurang baik yang meningkatkan peluang jangkitan antara seseorang.
“Vaksin kekal sebagai inisiatif paling berkesan untuk mencegah atau mengurangkan risiko jangkitan virus ini iaitu penggunaan vaksin Covid-19 dan influenza, terutamanya untuk kumpulan yang paling terdedah kepada jangkitan atau komplikasi,” jelasnya.
Berikutan itu, Al-Khouli menegaskan bahawa setiap penyakit mempunyai protokol rawatannya yang tersendiri. Pemilihan protokol yang sesuai terutamanya bergantung pada gejala klinikal dan keterukan yang dihadapi. Covid-19 telah membunuh lebih lima juta orang di seluruh dunia sejak WHO melaporkan wabak itu pada akhir tahun 2019 di China.
Amerika Syarikat adalah negara yang paling terjejas hingga mencatatkan kematian iaitu seramai 826,064 orang diikuti oleh Brazil, India dan Rusia. Namun, WHO menganggarkan bahawa hasil sebenar mungkin dua hingga tiga kali lebih tinggi.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia