Home Nasional MTEM syor cari solusi baru selain i-Citra 3.0

MTEM syor cari solusi baru selain i-Citra 3.0

Azlan Awang

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mempersoalkan desakan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra 3.0.

Felo Kanan MTEM, Azlan Awang mempersoalkan adakah pengeluaran itu diperlukan oleh majoriti pencarum atau sebaliknya.

Justeru, katanya, MTEM menyokong kenyataan dan saranan Prof. Barjoyai Bardan, Prof. Razman dan NGO seperti Gerakan Keadilan Monetari (MMJ) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang tidak bersetuju i-Citra dibuat untuk kali ketiga.

“Semua sudah maklum berkenaan fakta melalui statistik terkini daripada KWSP selepas pengeluaran i-Citra dua kali sebelum ini, dengan bumiputra hanya akan mempunyai baki simpanan kurang RM200 sebulan setelah bersara.

“Satu daripada dua bumiputera atau 50 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun KWSP mereka ketika ini dan jika i-Citra ketiga dibenarkan, jumlahnya meningkat lebih 60 peratus.

“Oleh itu, cadangan i-Citra ketiga ini kesannya bukan hanya kepada mereka yang akan menghakis simpanan persaraan, tetapi memberi kesan juga pada pencarum lain kerana bukan semua aset KWSP mudah dicairkan kepada tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azlan, ini kerana 96 peratus aset itu telah dilabur dalam bentuk bon, saham dan hartanah di syarikat tempatan mahu pun luar negara.

Katanya, jika aset berbentuk jangka panjang atau aset di luar negara dijual dengan segera, maka nilai diperolehi kemungkian besar lebih rendah dan tidak optimum serta memberi kesan pulangan kepada caruman.

“Namun, yang pasti, apa yang ditawarkan kerajaan belum meyakinkan sebilangan mangsa banjir, sama ada dari segi jumlah atau kaedah penyaluran bantuan untuk mereka bangkit semula secepat mungkin.

“Mereka memerlukan kewangan yang besar untuk membaiki rumah, menggantikan peralatan dan perabut, membaiki kenderaan dan lain-lain, manakala bagi yang meniaga, peralatan perniagaan juga perlu dibaiki atau diganti,” katanya.

Oleh itu, menurut beliau lagi, MTEM mencadangkan beberapa penambahbaikan bantuan seperti kerajaan memberikan setiap isi rumah sebahagiannya dalam bentuk bantuan tunai lingkungan RM10,000.

Sebahagian lagi bantuan berbentuk pinjaman tanpa riba maksima RM25,000 dibayar balik dalam jangka enam tahun dengan tahun pertama diberi ihsan seperti geran. – MalaysiaGazette