KUALA LUMPUR – Polis telah memanggil beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang terlibat dalam penganjuran ‘Konvoi Selamatkan SPRM’ semalam.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain beliau turut dipanggil adalah Naib Ketua AMK, S.Thiban, Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan, P. Prabakaran.
Kesemua mereka diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya esok untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.
“Sementara kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, initimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera dan sebaliknya (Tan Sri) Azam Baki perlu dicutikan untuk siasatan rapi dapat dijalankan.
“Malangnya pada masa yang sama, kerajaan terutamanya perdana menteri dilihat masih pasif dan tidak menghiraukan gesaan orang ramai agar ‘darurat integriti’ ini segera dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, AMK menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Memorandum itu terdiri 13 kad bantahan bertulis ‘Undur Azam Baki’ yang diserahkan kepada SPRM bagi menyampaikan pandangan rakyat negara ini.
Sebanyak 10 kenderaan berkonvoi dari Dataran Putrajaya ke Presint 2 bagi menyerahkan memorandum terbabit di bangunan SPRM.
Sementara itu Akmal Nasrullah berkata, AMK mengambil pendirian untuk meneruskan desakan sehingga kes melibatkan Azam ditangani dengan lebih serius oleh Kerajaan.
Serentak itu, AMK akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan Bangunan Parlimen ketika Persidangan Khas Parlimen berlangsung pada 20 Januari ini.
“Bagi menjadikan serahan memorandum ini sebagai referendum kebimbangan rakyat, AMK akan mengadakan konsultasi bersama para aktivis, kumpulan masyarakat sivil, NGO-NGO, Aktivis Mahasiswa, serta kumpulan-kumpulan pendesak yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Azam kini terpalit dengan kes pemilikan saham yang dibangkitkan pihak tertentu.
Bagaimanapun, pada sidang media berhubung isu terbabit baru-baru ini, Azam menyatakan kesediaan jika kes yang didakwa membabitkan dirinya dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selain menegaskan tidak menyembunyikan sebarang fakta.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: