Home Dunia Hartawan pembunuh meninggal dunia dalam tahanan

Hartawan pembunuh meninggal dunia dalam tahanan

Robert Durst. foto AP

LOS ANGELES: Pewaris hartanah dan pembunuh yang disabit bersalah, Robert Durst, meninggal dunia di penjara California, semalam.

Peguam, Chip Lewis, berkata, lelaki berusia 78 tahun itu menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami isu berkaitan perubatan yang turut berulang kali dimaklumkan kepada mahkamah.

Durst meninggal dunia sebagai banduan selepas mengaku bersalah pada September kerana menembak mati rakannya, Susan Berman di kediaman wanita tersebut.

Dia membunuh Susan untuk menghentikan wanita itu bercakap dengan polis tentang kehilangan isterinya, Kathleen Durst.

Polis percaya Durst membunuh dua yang lain.

Durst dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Oktober tahun lalu kerana pembunuhan Berman pada tahun 2000, yang merupakan orang kepercayaan dan jurucakapnya yang lama.

Perbicaraan beliau telah ditangguhkan selama lebih setahun kerana wabak Covid-19.

Dua hari selepas hukuman dijalankan, dia dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19 dan menggunakan alat bantuan pernafasan, menurut peguamnya.

Durst – yang keluarganya memiliki beberapa bangunan pencakar langit New York City, termasuk pelaburan di Pusat Dagangan Dunia.

Dia ditahan selepas menjadi subjek dalam dokumentari HBO berjudul: “The Jinx: The Life and Deaths of Robert Durst.”

Dalam episod terakhir, Durst dikatakan telah berbisik sendirian dan mengeluarkan perkataan “Apa yang saya buat? Membunuh mereka semua, sudah tentu,” dia dirakam berkata kepada dirinya sendiri ketika mikrofon masih terpasang padanya.

Pendakwa raya mengatakan dia juga membunuh jirannya, Morris Black, semasa tinggal sebagai buruan di Texas sembilan bulan selepas membunuh Berman.

Durst mendakwa menembaknya secara tidak sengaja, sebelum memotong-motong badannya dan membuang bahagian-bahagiannya di Teluk Galveston.

Selepas pemburuan selama 45 hari, dia telah ditangkap kerana mencuri sandwic ayam dari kedai runcit di Pennsylvania, hanya beberapa batu dari tempat dia belajar di universiti.

Dia ditemui dengan wang tunai beribu-ribu dolar di dalam kereta sewanya, serta ganja dan lesen memandu milik seorang kulit hitam.

Dia mendakwa mempertahankan diri pada perbicaraannya pada 2003, dan dibebaskan selepas berhujah dia melarikan diri kerana percaya kisahnya tidak akan dipercayai.

Durst juga disyaki dalam kematian isterinya Kathie Durst pada 1982, yang mayatnya tidak pernah ditemui. Dia secara sah diisytiharkan mati pada 2017. – Agensi