Home Utama Lelaki mengaku tak bersalah dera tujuh anak, pukul isteri

Lelaki mengaku tak bersalah dera tujuh anak, pukul isteri

Muhamad Faizal was slapped with eight counts of abuse and assault charges at the Penang Court today.
Muhamad Faizal was slapped with eight counts of abuse and assault charges at the Penang Court today. Muhamad Faizal didakwa atas lapan pertuduhan mendera serta memukul isterinya di Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pembantu peniaga pasar awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera tujuh anaknya yang berusia lima hingga 14 tahun antara Januari hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Faizal Abdul Kudus, 42, didakwa di dua mahkamah berasingan atas tujuh pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid dan Hakim, Norsalha Datuk Hamzah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh  Muhamad Faizal  didakwa atas tujuh pertuduhan mendera anak manakala satu lagi pertuduhan memukul isteri di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran tidak bercadang menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan bimbang keselamatan mangsa serta saksi.

Namun, Md Yusuf memohon jaminan dalam jumlah rendah kerana tertuduh bekerja sebagai pembantu peniaga di sebuah pasar awam dengan pendapatan sebulan RM1,200 selain menghidap penyakit diabetis, darah tinggi serta asma.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 bagi tujuh pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Selain itu, syarat tambahan lain yang dikenakan ke atas tertuduh ialah pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berhampiran sebulan dua kali iaitu pada 1 dan 15 haribulan serta dilarang tinggal serumah dengan semua mangsa.

Tertuduh, keluarganya atau mana-mana wakil dilarang mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi-saksi.

Dalam pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret, Muhammad Faizal didakwa mencederakan isterinya, Ummu Nabilah Md Ehwan yang juga warga Singapura pada bahagian leher dan badan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Faizal didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit pangsapuri Mutiara Idaman, Solok Tengku Jelutong di sini antara Januari hingga Disember tahun lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun jika disabitkan bersalah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan syarat tidak boleh mendekati atau mengganggu pengadu.

Kesemua lapan pertuduhan itu ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 Februari depan. – MalaysiaGazette