Home Nasional Kes rasuah: Guru besar didenda RM20,000, penjara tiga bulan

Kes rasuah: Guru besar didenda RM20,000, penjara tiga bulan

Khairul Azizi Ab Aziz,55 mengaku bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sekyen 2 Kuantan, Pahang hari ini

KUANTAN – Seorang guru besar mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan dalam kejadian lapan tahun lalu dijatuhi hukuman denda RM20,000 dan penjara tiga bulan di Mahkamah Seksyen 2 Kuantan hari ini.

Hukuman penjara dijatuhkan kepada Khairul Azizi Ab Aziz,55, selepas beliau mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating pada 19 Mac  dan 15 Disember 2014 lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dalam prosiding turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM20,000 atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Tertuduh semasa berkhidmat SK Cherating mengaku telah menggunakan jawatannya sebagai guru penolong kanan Kokurikulum untuk mendapatkan suapan dengan  mencadangkan kepada guru besar supaya melantik syarikat Sueazizi Enterprise milik isterinya.

Lantikan itu dibuat oleh pihak pengurus sekolah terbabit dalam perihal kerja bayaran peruntukan latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) aktiviti perahu layar.

Kedua-dua pertuduhan berkaitan baucer bayaran berjumlah RM1,200 bagi pertuduhan pertama manakala bayaran sebanyak RM700 bagi pertuduhan kedua.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Undang-undang memperuntukan hukuman penjara selama tidak lebih tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mengikut mana-mana lebih tinggi.

Khairul Azizi telah berkhidmat selama 31 tahun kini menyandang jawatan sebagai guru besar tidak diwakili peguam  merayu  agar denda dan hukuman yang dikenakan dikurangkan dengan alasan beliau tidak mengetahui tatacara yang betul dalam pentadbiran kewangan kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin dan tertuduh kelihatan tenang keluar dari kamar mahkamah memakai kemeja putih dan tag nama. – MalaysiaGazette