KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap isu yang terpalit pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi memelihara integriti badan pengua kuasa undang-undang itu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, reformasi yang dijanjikan untuk memastikan rasuah dibanteras perlu dizahirkan.
Katanya, isu yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak harus ditafsir secara politik dan kepartian sebaliknya perlu dilakukan siasatan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
“Kami mengikuti perbahasan isu ketua SPRM ini dengan penuh perhatian…pastinya isu ini tidak boleh diremehkan.
“Apa yang terdedah dalam ribut kencang berbagai hujah yang saling bertentangan mengundang polimik yang semakin panas dan berterusan…malangnya proses perundangan semakin kabur.
“Yang pasti rakyat punya sebab kenapa isu ini menambahkan persoalan terhadap sebuah agensi paling diharap mencegah gejala rasuah yang menjangkiti negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, tidak harus ada kompromi dalam isu berkenaan jika benar ada persoalan yang memerlukan siasatan mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Ujarnya, isu berkenaan sudah menjadi perkara profail tinggi dan tuntutan supaya Azam direhatkan untuk siasatan dijalankan oleh pihak yang bebas dan berwibawa, adalah logik dan wajar.
Tambahnya, pendakwaan secara selektif tidak boleh mewajahi SPRM kerana agensi itu diwujudkan melalui perundangan negara dengan segala bidangkuasa yang memungkin tindakan diambil terhadap pihak yang dikesan terbabit dengan rasuah atau salahguna kuasa sama ada terhadap agensi lain mahupun terhadap pegawai di agensi SPRM itu sendiri.
“Oleh kerana kes ini membabitkan agensi SPRM itu sendiri, maka sewajarnya sebuah badan bebas diwujudkan untuk siasatan dimulakan.
“Kes yang sedang diperbahaskan malangnya berlegar dimedan media dan dalaman agensi SPRM antara ketuanya, Pengerusi Lembaga Penasihat dan anggotanya serta anggota Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),” ujarnya.
Katanya lagi, kini kedengaran suara pegawai-pegawai kanan SPRM itu sendiri bersuara menyokong ketua mereka sedangkan siasatan belum bermula.
Ia ditambah pula komentar dari ahli-ahli politik yang berhujah mengikut pandangan masing-masing.
“Soalnya kenapa proses penyiasatan tidak diberi tumpuan…kenapa ada suara yang mendahului siasatan yang memutuskan tiada salahlaku dilakukan? Di mana rule of law yang sering disebut?” soalnya.
Mohd Azmi menambah, isu tersebut sudah menjadi perbualan terbuka dan imej agensi itu sendiri kini terjejas.
Jelasnya, Azam perlu direhatkan untuk siasatan dimulakan sebagaimana yang telah berlaku ke atas kes-kes sebelumnya apabila melibatkan pegawai tertentu dalam agensi lain. – MalaysiaGazette