KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat satu laporan polis ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan telah diugut untuk membuat pengakuan ke atas kes pertuduhannya di mahkamah di Kelantan pada tahun lalu.
Sumber memberitahu, pegawai JIM berusia 29 tahun itu membuat laporan polis itu pada di Balai Polis Salak Tinggi, Sepang dekat sini Isnin lalu.
Individu itu mengaku berbuat demikian selepas dikatakan takut dengan ugutan beberapa pegawai agensi anti rasuah itu termasuk pegawai penyiasat kes tersebut.
Katanya, pengadu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 1 April 2021 atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menerima suapan.
“Pengadu yang tidak mengaku kesalahannya telah memohon perbicaraan kepada mahkamah namun pada 24 November lalu, pengadu dihubungi pegawai penyiasat kes berkenaan untuk hadir di pejabat SPRM Putrajaya pada 2 Disember lalu.
“Pengadu yang hadir ke SPRM Putrajaya pada tarikh ditetapkan bagaimanapun dipaksa pegawai kes SPRM itu untuk membuat pengakuan bersalah di mahkamah dan sebaliknya akan ditawarkan denda RM5,000.
“Pengadu yang tidak akur dengan paksaan itu kemudiannya dibenarkan pulang namun diminta kembali ke pejabat yang sama pada 3 Jan tahun ini bersama isterinya,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette hari ini.
Justeru, pengadu didakwa sekali lagi diminta untuk mengaku salah dalam pertemuan terbaharu dan telah diugut beberapa pertuduhan baru akan dikenakan terhadapnya selain menahan isterinya pada hari yang sama sekiranya tidak menurut arahan mereka.
“Pengadu juga mendakwa diugut untuk menyediakan wang jaminan sebanyak masing-masing RM5,000 untuk diri dan isterinya jika masih tidak mengaku salah dalam kes yang dihadapinya,” kata sumber itu lagi.
Tambah sumber lagi, pengadu yang takut dengan semua ugutan pegawai SPRM itu akhirnya bersetuju untuk mengaku salah semata-mata untuk keluar dari pejabat itu.
“Pengadu dan isterinya kemudian dibenarkan pulang sebelum dihubungi semula semalam oleh pegawai penyiasat yang sama untuk hadir ke mahkamah meskipun perbicaraan kesnya ditetapkan pada 3 Julai depan.
“Akibat takut dengan semua ugutan, pengadu terus membuat laporan polis di Balai Polis Salak Tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat pegawai JIM itu.
“Saya boleh sahkan bahawa ada laporan dibuat pengadu yang telah dituduh dalam kes di Kelantan. Pegawai penyiasat kes itu meminta pengadu untuk mengaku salah sahaja di mahkamah sebab ada kesalahan-kesalahan lain yang menunggu untuk tindakan pertuduhan yang lain ke atas pengadu,” katanya.
Menurutnya, kes telah dirujuk ke Jabatan Integriti SPRM untuk tindakan lanjut atas arahan bahagian pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.-MalaysiaGazette
intergriti SPRM membusuk wpun tidak semua ….harapkan pagar tapi pagar makan padi….sprm akan memburu rakyat biasa sampai lubang cacing wpun baru dituduh belum pasti BERSALAH sudah digari dan baju pesalah….kena batang hidung SPRM sanggup buat memo tunjuk sokongan wpun siasatan belum berjalan
INGATKAN TUKAR NAMA BPR ke SPRM makin bertambah baik tapi rakyat menyaksikan MEREKA juga terlibat dan jadi DALANG RASUAH HARAMMM