Home Nasional Penganggur lepas dan bebas dari hukuman penjara kes rogol

Penganggur lepas dan bebas dari hukuman penjara kes rogol

Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang penganggur daripada hukuman penjara 22 tahun atas kesalahan merogol dua remaja bawah umur lapan tahun lepas.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang penganggur daripada hukuman penjara 22 tahun atas kesalahan merogol dua remaja bawah umur lapan tahun lepas.

Penganggur tersebut, Azroel Hassan yang kini sudah berusia 31 tahun juga berdepan dengan hukuman lapan sebatan atas kesalahan tersebut.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md. Said sebulat suara memutuskan untuk melepas dan membebaskan Muhmed Azroel selepas membenarkan rayuannya.

Turut sama bersidang Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Ketika membacakan keputusan, kata panel hakim, Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dengan hanya berdasarkan bukti ‘cakap’ sahaja.

“Kami dapati ada merit dalam rayuan pemohon. Kita juga dapati adalah tidak selamat untuk kekal sabitan serta hukuman kerana pengecaman mangsa ke atas perayu tidak selamat.

“Oleh yang demikian, perayu dibenarkan untuk untuk ketepikan sabitan dan hukuman terhadapnya,” kata panel bersama hari ini.

Muhmed Azroel diwakili Zuhaidie Akmal Hassan Basri dan Raja Mohd. Afiq Raja Azmi manakala pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.

Bagaimanapun dalam prosiding yang sama hari ini, enam lagi perayu termasuk tiga remaja bawah umur dalam rayuan kes sama tidak bernasib baik seperti Muhmed Azroel apabila panel mengekalkan sabitan salah atas kesalahan merogol mangsa-mangsa yang sama.

Namun dimaklumkan terdapat pindaan hukuman penjara dan sebatan yang telah dikenakan kepada semua perayu tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah merogol dua remaja yang ketika itu hanya berusia 17 dan 15 antara pukul 7.30 malam 20 Mei 2014 hingga 3.30 pagi keesokan harinya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kelantan.

Fakta kes menyebut mangsa berusia 17 tahun telah melarikan diri dari rumah keluarga angkat sebelum ke rumah teman lelaki bernama Aliff.

Dalam rumah tersebut, beberapa lelaki lain dipercayai rakan-rakan kepada teman lelakinya telah datang kemudian mengheret Aliff keluar dari tersebut dan menguncinya dari luar.

Mereka kemudian merogol dua mangsa secara bergilir-gilir sehingga pengsan serta mengalami pendarahan sebelum membuat laporan polis.- MalaysiaGazette