Home SISWA MIU Nilai sumbang bantuan sempena Tahun Baru Cina 2022

MIU Nilai sumbang bantuan sempena Tahun Baru Cina 2022

Charlie menerima sumbangan dari wakil MIU untuk diagihkan kepada masyarakat Tionghua Nilai.

NILAI – Menjelang sambutan Tahun Baru Cina 2022 pada 1 Februari ini, pasukan sukarelawan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Manipal International University (MIU), Nilai, Negeri Sembilan turut berbakti bagi membantu masyarakat Tionghua di sekitar Nilai.

Sumbangan tersebut dalam bentuk makanan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, biskut, bihun, kekacang dan kicap.

Sumbangan diserahkan oleh wakil USR MIU, Dr Shuhaimi Mohd. Sauh kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Muafakat Nilai, Charlie Yeoh.

Turut hadir sekumpulan pelajar Sekolah Pengurusan dan Perniagaan (SOMB) MIU diketuai pelajar tahun ketiga jurusan perniagaan, Maakaliswani, pensyarah dan pegawai universiti.

Dr Suhaimi bersama wakil masyarakat di Nilai

Aktiviti USR dijalankan oleh aktivis sukarelawan MIU membabitkan pensyarah dan pelajar sebagai tanda keprihatinan mereka untuk membantu golongan kurang bernasib baik melalui bantuan barangan keperluan asas.

Menurut Dr Suhaimi, sumbangan yang disampaikan oleh sukarelawan USR MIU kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, khususnya selepas mengenalpasti ramai golongan masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan musibah banjir, baru-baru ini.

Sementara itu, pada awal tahun ini juga sukarelawan USR MIU telah menjalankan aktiviti “Kembali ke Sekolah” bagi membantu golongan B40.

Tujuan utama program tersebut adalah untuk  membantu menyediakan keperluan asas persekolahan sebelum pelajar-pelajar memulakan sesi persekolahan 2022.

Felda Tenang di Besut, Hulu Terengganu dipilih sebagai kawasan sasaran bagi membantu anak-anak Felda dengan membekalkan mereka keperluan alat-alat tulis dan kamus Bahasa Inggeris.

Aktiviti USR MIU di Felda Tenang bagi membantu golongan B40.

Dr Suhaimi yang juga anak jati Felda berkata, fokus sumbangan berbentuk kamus tersebut bertujuan untuk membantu menggilap kemampuan pelajar-pelajar luar bandar di kawasan Felda menguasai kemahiran Bahasa Inggeris.

“Pendidikan seharusnya menjadi keutamaan dan usaha mengilap kemampuan pelajar dalam bahasa Inggeris adalah satu keperluan untuk membolehkan mereka bersaing pada masa depan,” katanya.

Program di kawasan Felda Tenang tersebut turut dibantu oleh bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Besut, Encik Abdul Halim Hassan dan Pengurus Felda Tenang., Encik Mohd Azmi Hassan.

Oleh Zarith Nurzafirah Khairuddin, Pensyarah Sekolah Pengajian Pengurusan dan Perniagaan MIU