Home Politik Muhyiddin pinggirkan Anina kerana miskin – dakwa Ramesh

Muhyiddin pinggirkan Anina kerana miskin – dakwa Ramesh

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (kiri) pada sidang media di pejabatnya, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebagai biadap susulan memberi alasan, bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin meninggalkan parti itu kerana masalah kewangan.

Presidennya, Ramesh Rao berkata, kenyataan Muhyiddin itu jelas membuktikan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mengutamakan golongan elit dan orang kaya serta meminggirkan rakyat yang miskin.

“Penganggur, orang susah yang perlukan bantuan, jangan sertai parti bunga raya sebab parti itu mengutamakan yang kaya sahaja, jadi terbukti dalam kes Anina. Saya minta rakyat Malaysia fikirkan balik bila nak sokong parti Tun M.

“Ini terbukti dalam kes Anina yang dipinggirkan kerana dia miskin, tiada jawatan dan tiada harta untuk digadaikan. PPBM bukan parti orang miskin tapi parti untuk orang-orang kaya, orang miskin tak payahlah,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang memberi alasan Anina menyatakan hasrat untuk berhenti dan mungkin keluar daripada parti disebabkan kerana tiada duit dan tiada kerja.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas PMSP, Shafik Abdullah pula mempersoalkan kenyataan Muhyiddin itu kerana ia menghina masyarakat miskin di negara ini yang menyokong parti serpihan UMNO itu.

“Adakah Tan Sri Muhyiddin ini memandang rendah dengan rakyat sebegitu (miskin). Untuk saya itu (tindakan) biadap.

“Sebagai seorang pemimpin dan bekas pemimpin UMNO, jangan biadap, Allah Maha Kuasa, tak baik kata macam itu,” tegasnya.

Shafiq juga tidak menolak halatuju PPBM mahu membela nasib dan kebajikan rakyat di negara ini dan lebih dikhuatiri akan menindas rakyat miskin apabila diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

“Ini bermakna orang yang masuk PPBM ini kena kaya, dan kena ada jawatan, kena ada pekerjaan.

“Saya rasa kalau Anina tiada duit, dan dia tiada kerja, ini adalah kesalahan diri dia sendiri, dan kesalahan PPBM,” katanya. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.